Tiada pihak yang boleh menentukan cara dan tempoh masa untuk Jawatankuasa Disiplin DAP dalam mengendalikan isu displin anggota parti itu, kata Chong Chieng Jen.
Beliau yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP berkata demikian ketika mengulas tempoh seminggu yang diberikan Pemuda Bersatu kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu, untuk meminta maaf atau didisplinkan parti itu, atas kritikannya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Jika pimpinan DAP tidak lakukan apa-apa, Armada akan bebas menyerang pimpinan DAP, termasuk pimpinan tertingginya,” kata Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kenyataan di Facebook semalam.
Chong berkata pihaknya telah menerima laporan terhadap kenyataan Liu yang disiarkan media pada 22 Oktober lalu, dan telah memulakan proses untuk mengendalikan laporan itu.
"Sementara kami terbuka untuk orang awam membuat laporan terhadap (isu) disiplin oleh mana-mana anggota parti, tiada pihak yang dapat menentukan cara dan tempoh masa untuk kami mendisiplinkan anggota kami.
"Jawatankuasa Disiplin DAP ingin menyatakan kekecewaan kami terhadap ultimatum (kata dua) oleh Syed Saddiq dan Pemuda Bersatu, yang tidak wajar dan tidak patut berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna itu menyifatkan kata dua yang diberikan itu sebagai tidak matang dan tidak menyumbang kepda kesatuan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dalam tulisan di Malaysiakini bertajuk Mahathir: The paper tiger (Mahathir: Harimau kertas), Lui antaranya berkata DAP, PKR, Amanah, Warisan and Upko masih boleh mempertahankan kerajaan walaupun tanpa Bersatu.
Beliau kemudian menjelaskan hanya mahu mengingatkan Mahathir agar bertindak selari dengan agenda PH dan tidak pernah meminta Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan.