Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TM, MAS dan pertukaran k'jaan: Khazanah jelaskan sebab rugi RM6.3b pada 2018
Diterbitkan:  Oct 24, 2019 6:49 PM
Dikemaskini: 12:04 PM

Kerugian ekoran perubahan mendadak dalam dasar telekomunikasi, masalah kewangan berterusan MAS dan pembekuan sementara operasinya merupakan antara sebab Khazanah Nasional menanggung kerugian berjumlah RM6.3 bilion pada tahun lalu.

Itu merupakan penjelasan syarikat pelaburan negara itu kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) berkenaan kajian terhadap perubahan kedudukan kewangannya pada 2018.

Setahun sebelumnya, Khazanah mencatat keuntungan RM2.9 bilion.

Dalam laporan PAC yang dikeluarkan semalam, Pengarah Urusan Khazanah Shahril Ridza Ridzuan dipetik berkata kemerosotan 21.6 peratus terhadap Pulangan Nilai Bersih DIlaraskan ekoran dividen rendah pelaburannya, terutama dalam Telekom Malaysia (TM).

Katanya, TM mengalami kemerosotan nilai yang teruk pada 2018 selepas keputusan kerajaan Pakatan Harapan agar kelajuan perkhidmatan jaluar lebar ditingkatkan tetapi dengan pengurangan harga.

Dalam pertemuan dengan PAC, Shahril dipetik sebagai berkata pihaknya telah menasihatkan Kementerian Media dan Komunikasi agar memberi sedikit masa kepada industri ketika memperkenalkan dasar baru pada masa akan datang agar industri itu dapat menstrukturkan semula kos mereka agar dapat mencatatkan keuntungan yang wajar.

Keuntungan pemegang saham TM pada 2018 merosot hampir 60 peratus. Ia membawa kepada kerugian Khazanah sebanyak RM3.5 bilion dalam bentuk nilai.

Keuntungan pemegang saham Axiata pula merosot 27 peratus pada 2018 - yang membawa kepada kerugian RM5 bilion dalam bentuk nilai kepada Khazanah.

Masalah MAS

Satu lagi faktor utama ialah MAS, yang bergelut untuk mencatat keuntungan walaupun disuntik dana dan penstrukturan semula oleh Khazanah.

Menurut penjelasan Shahril kepada PAC, kerugian Khazanah turut berpunca daripada peningkatan rosot nilai oleh MAS, iaitu daripada RM2.3 bilion (2017) kepada RM7.3 bilion (2018).

Kerugian MAS pada 2018 adalah lebih RM1 bilion dan ia menyebabkan nilai saksama MAS tidak lagi boleh menampung kos pelaburan, Shahril dipetik berkata kepada PAC.

Selain dividen rendah dan aset bermasalah, Shahril berkata sebab ketiga kerugian Khazanah pada tahun lalu ialah pembekuan operasi selama enam bulan selepas PRU ke-14.

Ia menyebabkan syarikat itu tidak boleh membuat jual beli mana-mana pelaburan jangka pendeknya, katanya.

"Dalam tempoh itu tiada pihak yang boleh membuat keputusan sehinggalah ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi dilantik.

"Kegagalan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh berkenaan telah memberi kesan besar kepada pendapatan Khazanah," katanya.

Laporan itu tidak memperincikan jumlah kerugian dalam tempoh itu.

Beberapa bulan selepas PRU ke-14, iaitu pada Julai 2018, kesemua sembilan ahli lembaga pengarah Khazanah menghantar surat letak jawatan kepada kerajaan.

Ahli lembaga pengarah baru diumumkan empat hari kemudian, dengan Shahril sendiri dilantik pada awal Ogos 2018.

Shahril Ridza

Selain itu, kata Shahril, terlalu banyak pelaburan Khazanah bertumpu pada syarikat tertentu, dengan 80-85 peratus pelaburan berada dalam kira-kira sembilan hingga sepuluh syarikat.

Keadaan itu mendedahkan risiko tinggi kepada KHazanah jika berlaku kemelesetan ekonomi, katanya lagi.

Pendengaran PAC bermula pada 1 April lalu.

Selain Shahril, jawatankuasa itu turut memanggil Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Perdana Menteri Mohd Zuki Ali, serta wakil daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Jabatan Audit Negara, Jabatan Perakaunan Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Perancangan masa depannya antara lain untuk mengurangkan kos operasi sehingga 40 peratus untuk "beberapa tahun akan datang" - termasuk menutup pejabat dalam dan luar negara yang tidak diperlukan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS