Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 15 November sebagai tarikh pengumuman keputusan terhadap permohonan rayuan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan bekas kerani bank Johari Mohamad terhadap sabitan bersalah dan hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen tahun lalu.
Perkara itu diumumkan Hakim Mohamad Yazid Mustafar setelah mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman, dan peguam, iaitu Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Rafizi dan Zaid Malek yang mewakili Johari.
Sebelum itu, hakim meminta peguam untuk menyerahkan menyerahkan transkrip perbicaraan tadi kepada pihak mahkamah dalam masa sepuluh hari dari hari ini untuk tujuan penelitian semula.
Galeri awam mahkamah sesak dengan kehadiran penyokong Rafizi dan beberapa tokoh PKR, antaranya Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah; Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan beberapa yang lain.
Setelah habis perbicaraan, Rafizi disambut kira-kira seratus penyokongnya dengan laungan “Reformasi” di lobi mahkamah yang mengiringinya ke kereta.
Rafizi dan Johari masing-masing dihukum penjara 30 bulan selepas didapati bersalah membocorkan data perbankan berhubung akaun National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), oleh Hakim Mahkamah Sesyen Zamri Bakar pada Februari 2018.
Zamri berkata pihak pendakwa telah membuktikan mereka melanggar Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) melampaui keraguan munasabah.
Rafizi dan Johari didakwa pada 2012 mengikut Seksyen 97 Bafia kerana mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank berkaitan NFC dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail, yang adalah suami kepada Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.
Untuk rekod, akta itu telah dimansuhkan pada pada 2013.
Ketika penghujahan, perkara utama yang dibangkitkan Nizam ialah sama ada salinan siaran media boleh diterima sebagai keterangan, dan bukan dokumen asal yang disifatkannya sebagai antara “perkara pokok yang paling material” dalam kes itu.
Katanya, terdapat prasyarat dalam Seksyen 65 Akta Keterangan yang gagal dipenuhi pihak pendakwaan untuk membolehkan salinan itu - iaitu dokumen sekunder - diterima sebagai keterangan.
Katanya lagi, pendakwaan juga gagal berusaha mencari dokumen asal walaupun ada masa yang cukup untuk mencarinya, memandangkan keterangan saksi berkenaan lokasi dokumen itu dibuat pada Mac 2012 dan perbicaraan hanya bermula lima tahun kemudian.
Ketika itu, saksi berkata dokumen asal “tidak tahu ke mana, ada di pejabat, tetapi tak dapat dijumpai”.
"Kami hujahkan P4 (salinan siaran media) tak boleh diterima sebagai keterangan...Ia menunjukkan kegagalan fatal dalam memenuhi Seksyen 65 Akta Keterangan," katanya.
Justeru, katanya lagi, keterangan daripada saksi pendakwaan yng bersabit dengan salinan itu juga perlu ditolak mahkamah.
Sementara itu, Zaid yang merupakan peguam Johari dalam penghujahannya berkata hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf kerana tidak mengambil kira saksi ke-13 sebagai suspek.
Ini kerana ID login yang diberikannya digunakan untuk mendapatkan akses penyata kewangan NF sebelum dicetak, katanya, sambil menambah Johari sendiri tiada akses terhadap dokumen itu.
Pada 2017, seorang pegawai kanan Public Bank mengesahkan penyata kewangan NFC dan pengerusinya Mohd Salleh Ismail dicetak dari komputer Johari, namun akses kepada dokumen dilakukan menggunakan ID login "CCH", digambarkan sebagai Chan Chen Hooi, seorang pegawai kanan bank itu.
“Perayu (Johari) telah menimbulkan keraguan munasabah, dan pihak hakim gagal mempertimbangkan keraguan yang ditimbulkan dengan sewajarnya, dan mahkamah juga menerima keterangan saksi ke-13 secara bulat-bulat tanpa mempertimbangkan dia juga mungkin suspek,” katanya.
Menjawab hujahan Nizam, Tengku Amir berkata mahkamah membuat keputusan betul dengan menerima salinan siaran media sebagai bahan keterangan kerana “peruntukan undang-undang tidak memerlukan usaha yang lebih dari pendakwaan untuk mencari dokumen yang hilang”.
Salinan sahaja memadai, apatah lagi ia telah dikenal pasti oleh saksi ketiga yang membuat salinan, katanya.
Berkenaan penghujahan Zaid pula, Tengku Amir berkata walaupun tiada rakaman CCTV ketika dokumen itu dicetak, hanya Johari yang ada di komputer itu.
Katanya lagi, individu yang digambarkan sebagai Chan itu hanya datang untuk memasukkan kata laluan agar dokumen itu dapat diakses.