Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan haramkan komik BRI atas dakwaan promosi komunisme
Diterbitkan:  Oct 23, 2019 6:22 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN)hari ini mewartakan perintah larangan terhadap komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI)’ atas alasan ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

Selain itu, komik yang diterbitkan dalam tiga bahasa itu - Melayu, Inggeris, dan Cina - dikatakan mengelirukan pembaca serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis

“Warta perintah larangan ini adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut KDN, penerbitan komik itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

“Ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

“Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh/pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara,” katanya.

Hari ini, tiga individu termasuk bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau dikenali sebagai 'Superman' dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman berhubung penerbitan komik yang didakwa berunsur propaganda.

Komik itu adalah terbitan Muzium Kebudayaan Komik Asia yang diterajui oleh  Hew dengan kerjasama artis tempatan Chong Po Ling.

Menurut kerajaan kandungan penerbitan itu dlilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat negara ini yang berbilang kaum dan agama serta dibimbangi boleh memecah belahkan keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Warta perintah larangan itu adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan itu adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

Mana-mana individu yang disabitkan dengan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan komik itu dipercayai diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Walau bagaimanapun, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebelum ini menafikan kementeriannya pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedarannya, dan memberi arahan agar buku itu diedarkan di sekolah.

Antara kandungan komik itu yang mengundang perasaan tidak puas hati ialah umat Islam yang bersimpati dengan nasib umat Islam Uighur di China sebagai radikal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS