Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hampir RM3 juta untuk selenggara Lebuh Raya Timur Barat
Diterbitkan:  Oct 23, 2019 4:14 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

PARLIMEN l Sebanyak RM2.98 juta telah diperuntukkan bagi penyelenggaraan berkala Lebuhraya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan sehingga Ogos tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata daripada jumlah itu, RM2.6 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan berkala pavemen dan sebanyak RM380,000 pula penyenggaraan berkala bukan pavemen di lebuh raya sejauh 115.95 km itu.

“Kementerian komited melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan khususnya di laluan Lebuhraya Timur Barat dan kerja-kerja yang dilakukan adalah tertakluk kepada kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam sesi soal jawab hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawwai Nik Salleh (PAS-Pasir Puteh) yang bertanyakan sama ada kementerian mengutamakan penyelenggaraan dan pembaikan jalan raya yang menjadi perhubungan utama pantai barat dan pantai timur.

Selain itu, Baru berkata sebanyak RM2.38 juta diperuntukkan setiap tahun bagi pelaksanaan rutin yang meliputi kerja-kerja tampalan lubang jalan, meratakan bahu jalan, memotong rumput dan membersihkan sistem perparitan jalan serta rondaan pemeriksaan jalan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS