Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Berhati-hati dengan ketiadaan Akta Antiberita Tidak Benar’
Diterbitkan:  Oct 23, 2019 1:09 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Setiasuaha politik kepada Lim Kit Siang, Syahredzan Johan mengingatkan semua pihak agar terus menentang penyebaran berita palsu walaupun tiada lagi akta untuk mengekangnya selepas ini.

Katanya, masyarakat tidak boleh memandang enteng pada ancaman berita palsu atau lebih tepat lagi, kepalsuan atas talian yang kini menjadi semakin serius.

"Sebagai individu, kita harus saling ingat-mengingati untuk menyemak fakta sebelum menularkan sesuatu isu," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan pada hari ini selepas Dewan Rakyat pada semalam meluluskan Rang Undang-undang untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar.

Walaupun bersetuju dengan pemansuhan itu, beliau menggesa semua pihak, termasuk kerajaan, individu dan korporat untuk bersama berganding bahu dalam menentang ancaman kepalsuan atas talian.

"Apatah lagi apabila kepalsuan atas talian ini direka dan disebarkan oleh sesetengah pihak untuk kepentingan peribadi atau politik mereka.

Dia kemudiannya memberikan contoh penyebaran berita palsu yang sering memangsakan ketuanya, sebelum ini.

"Lim Kit Siang juga sering menjadi mangsa kepalsuan atas talian.

"Sebelum ini, beliau telah difitnah kononnya ejen asing, lahir di negara China, akan menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang dan pelbagai kepalsuan lagi," katanya.

Katanya lagi, mereka juga telah mendapat tahu bahawa ada beberapa akaun Twitter yang menggunakan imej Lim tanpa kebenarannya bagi tujuan menyebarkan kepalsuan.

Pada 9 Okt. yang lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2019 selepas ditolak Dewan Negara pada tahun lalu.

Sekiranya ia ditolak sekali lagi oleh Senat, RUU tersebut masih boleh dilaksanakan memandangkan Perkara 68 (2) membolehkan RUU untuk dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan menjadi undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS