Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengendali teksi motosikal boleh ambil penumpang berbeza jantina
Diterbitkan:  Oct 23, 2019 11:47 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

PARLIMEN | Penyedia perkhidmatan teksi motosikal bebas untuk menawarkan perkhidmatan mereka kepada mana-mana penumpang termasuk yang berlainan jantina.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Kamarudin Jaffar, hal itu kerana pelaksanaan pindaan undang-undang berkenaan industri penghantaran barangan dan teksi tidak menyentuh aspek patuh syariah.

“Tentang patuh syariah atau tidak, setakat ini (pindaan) undang-undang bakal diluluskan setelah dipersetujui jemaah kabinet tidak (ada) menyentuh perkara ini.

“Tertakluk kepada syarikat pengendali atau pilihan diberikan secara bebas kepada penumpang untuk buat pemilihan sewaktu menempah (teksi) motosikal secara atas talian,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Pada 21 Ogos, kabinet bersetuju cadangan agar perkhidmatan teksi motosikal - dikemukakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - diterima untuk dilaksanakan. 

Ia selepas Syed Saddiq menyuarakan hasrat membawa masuk pengendali teksi motosikal Indonesia, Gojek, ke Malaysia selepas mengatur pertemuan antara pengasas syarikat itu, Nadiem Makarim, dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 19 Ogos.

Ia mengundang perdebatan awam tentang faktor keselamatan perkhidmatan tersebut, dan ada juga yang membangkitkan isu kepatuhan syariah melibatkan penunggang dan pembonceng berlainan jantina.

Biarpun ada pihak membantah, Dego Ride - syarikat pertama memperkenalkan teksi motosikal di Malaysia sebelum ia diharamkan kerajaan pada awal 2017 - menyambut baik usaha itu, namun meminta kerajaan mengutamakan pemain tempatan. 

Bagaimanapun Syed Saddiq mempertahankan cadangannya dan berkata teksi motosikal akan memberi manfaat kepada pasaran tempatan dan pengguna, seperti dalam perkhidatan penghantaran makanan selain membantu belia yang menganggur. 

Selain itu, Kamarudin turut berkata kerajaan akan mengeluarkan lesen kepada syarikat perkhidmatan teksi motosikal dan mengawal selia perkhidmatan itu bagi memastikan keselamatan penunggang dan pemboncengnya terjamin. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS