Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sudah memberi amaran kepada anggota parlimen Pakatan Harapan supaya hadir ke Dewan Rakyat semasa perbahasan Belanjawan 2020.

Amaran itu dikeluarkan walaupun beliau berkata sedia maklum berkaitan jadual ketat menterinya.

“Kita telah bincang perkara ini dengan kabinet secara mendalam. Kita dapati terkadang, contohnya menteri, di luar negeri kerana sekarang banyak mesyuarat antarabangsa mereka kena hadir.

“MP lain kadang ada kadang mereka tidak dalam dewan. Tapi siapa ada dalam bangunan ini (parlimen), mereka boleh dipanggil dengan goncang loceng.

“Dan kita bagi amaran kepada mereka supaya hadir,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Pada 17 Oktober lalu, Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berkata kegagalan anggota parlimen PH untuk berada dalam dewan semasa perbahasan Belanjawan 2020 menunjukkan mereka tidak berminat dengan apa yang disampaikan.

Malah Ismail Sabri berkata, apa yang berlaku pada hari itu adalah "sejarah hitam" dan detik "malang" buat parlimen apabila speaker terpaksa membunyikan loceng untuk mencukupkan kuorum.

Sementara itu, ditanya berkenaan masalah disiplin kerajaan, Dr Mahathir menjelaskan perkara berkenaan dibangkitkan hanya sebagai agenda politik sahaja.

“Ini berlaku pada mana-mana kerajaan. Kalau saya pergi sekali di Kongres Amerika Syarikat, saya dapati orang itu cakap seorang sahaja dan dengar cuma dua orang.

“Tapi mereka tak bangkit soal kuorum, soal ini bangkit kadang-kadang pasal sebab politik sahaja,” katanya.

Untuk rekod sidang Dewan Rakyat tempoh lalu terpaksa ditangguhkan selama 10 minit - mulai jam 4.05 petang - apabila jumlah anggota parlimen yang hadir tidak mencukupi jumlah yang ditetapkan.

Ketika itu Steven Choong (PH-Tebrau) sedang menyampaikan perbahasannya. Sejurus kemudian Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangkit untuk memaklumkan kepada speaker mengenai kekurangan kuorum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS