Kerajaan Kelantan akan menghadkan operasi kedai makan, warung, atau restoran sehingga jam 12 tengah bermula tahun depan bagi mengekang gejala sosial, kata menteri besarnya, Ahmad Yakob.
Menurutnya, satu kajian mengenal pasti punca golongan belia sering keluar rumah pada waktu malam antaranya kerana operasi restoran melebihi jam 12 malam.
"Kita berhasrat untuk melaksanakan peraturan itu di mana kegiatan pada waktu malam tidak melebihi jam 12 malam.
"Jadi kita minta semua kakitangan kerajaan memberi sokongan penuh. Semakan dilakukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya dapat kurangkan tarikan anak-anak muda ketika berada di luar," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas menteri besar bersama kakitangan awam kerajaan negeri sempena 29 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Abdullah Ya'kub dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Nazran Muhammad.
Ahmad yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Pasir Pekan berkata, walaupun banyak lagi faktor lain sebagai penyebab berlakunya gejala sosial, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk menjadikan suasana malam tidak melebihi jam 12 malam.
Mengambil contoh negara maju katanya, mereka mengambil langkah untuk menutup lebih awal kegiatan perniagaan pada waktu malam kecuali premis tertentu sahaja.
"Mungkin mereka (tutup) pada pukul lapan lagi. Insya-Allah kita cuba pada tahun 2020," katanya.