Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata peranan Malaysia bukannya mempromosikan ideologi China, tetapi meneliti apakah manfaatnya yang mampu diraih negara.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas iso kontroversi komik berkaitan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China oleh Hew Kuan Yau.
"Saya percaya China akan ada pengaruh besar di masa depan. Tetapi buat masa ini, bukan (peranan) kita untuk mempomosikan ideologi China, tetapi meneliti apa yang mampu kita manfaatkan daripadanya.
"Golongan muda perlu memahami masalah, strategi dan dasar negara sendiri terlebih dulu, justeru bila mereka berdepan dengan strategi orang lain, mereka tahu tempat mereka," katanya ketika sesi soal jawab di Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’, di Kuala Lumpur hari ini.
Sama seperti ideologi barat, kata Mahathir lagi, kerajaan juga tidak mahu mana-mana negara mempunyai pengaruh tidak tidak wajar kepada pelajar di sekolah.
Pada minggu lalu, komik berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI),terbitan Kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia Hew Kuan Yau, diedarkan di sekolah.
Bagaimanapun Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kementeriannya tidak pernah memberi kebenaran terhadap pengedarannya dan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah agar memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran terhadap komik itu.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata Malaysia menyokong inisiatif BRI China tetapi pada masa sama perlu mengetahui apakah maksud sebenarnya.
"Malaysia sentiasa menganggap China sebagai rakan, kecuali pada satu tempoh di awal kemerdekaan kita, ketika China mengamalkan Komunisme. Kini China memiliki dasar baru dan ia membawa banyak manfaat kepada negara itu.
"Kita ingin meneruskan hubungan baik dengan China. Kita menyokong idea 'one belt, one road' - tetapi kita perlu mengetahui apa maksudnya yang sebenar, Tanpa kajian yang wajar, kita tidak boleh beri 100 peratus sokongan kepada idea itu," katanya lagi.
Hew sebelum ini berkata komik tersebut untuk menjelaskan soal BRI dan bukannya propaganda DAP atau Komunisme.
Maszlee pula mempertahankan keputusannya melarang edaran buku itu dengan berkata sebarang bahan bersifat propaganda perlu melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika ingin diedarkan di sekolah.
Dalam komik itu turut dipaparkan gambar Mahathir dengan Presiden China Xi Jinping bersama-sama komik itu, dengan keterangan ia hadiah kepada Xi sewaktu forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa ke-2.
Bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri menafikan perkara itu dan berkata komik itu dibawa tanpa melalui prosedur dan saluran yang betul.