Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kiblat 'Superman' ke M'sia atau Komunis China?
Diterbitkan:  Oct 20, 2019 8:11 PM
Dikemaskini: 12:18 PM

Exco Pendidikan Pemuda Bersatu (Armada) Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menempelak sekumpulan akar umbi DAP, termasuklah lima Adun parti itu yang mengkritik keputusan Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk melarang buku komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)' daripada diedarkan di sekolah-sekolah.

Buku itu ditulis bekas aktivis DAP Hew Kuan Yew atu lebih dikenali sebagai 'Superman' di kalangan penyokongnya.

"Namun sebahagian pimpinan DAP yang menyokong Superman Bodoh ini perlu bertanya apakah jati perjuangan mereka?

"Adakah berpegang teguh atas nilai Malaysia itu sendiri dengan jujur atau kiblat mereka adalah bersama Parti Komunis China (CCP)?" Soal Mohd Ashraf dalam suatu kenyataan hari ini.

Mempertahankan keputusan Maszlee itu, Mohd Ashraf berkata komik itu tidak pernah diluluskan Kementerian Pendidikan dan tindakan larangan komik itu diedarkan di sekolah selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik.

"Maka apabila dipersoalkan samada menteri dilantik PH atau Umno, persoalan itu seharusnya tidak timbul kerana ini bukan tertakluk perihal politik, ini soal praktik ‘good governance’ yang dipelihara undang-undang sepertimana termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

"Sekatan ini bertepatan. Ditambah lagi komik tersebut tidak pernah lulus untuk menepati syarat bahan pendidikan selaku silibus sebagai materi rujukan kepada pelajar, ditambah lagi apa yang dicoretkan dalam komik ‘Superman Bodoh’ itu langsung tidak melalui proses pengabsahan secara ilmiah dari sudut sejarah dan kajian sosial.

"Ianya tambah tidak menyenangkan apabila kelihatan jelas mempunyai agenda memahat iltizam ‘Jalur Merah’ dari China melalui faham politik," katanya.

Komik mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan China itu mengandungi cerita yang cenderung terhadap republik itu dan menggambarkan Melayu yang menyokong etnik Uighurs sebagai radikal.

Kerajaan China telah menempatkan kira-kira 1.5 juta umat Islam Uighur di "kem pendidikan semula" yang didakwa perlu dilakukan demi memerangi ekstremisme Islam.

Layanan terhadap etnik Uighurs telah dikritik ramai pihak di negara demokrasi Barat seperti Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, Malaysia lebih banyak berdiam diri mengenai layanan China terhadap Uighurs.

Susulan larangan yang dikeluarkan menteri pendidikan, akar umbi DAP menyokong Hew dan mempersoalkan mengapa Maszlee mengikut rentak bekas perdana menteri, Najib Razak dalam isu berkenaan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Kebangsaan Pemuda DAP, Eric Teh dan Timbalan Ketua Pemuda DAP Selangor Koo Jeng Teng.

Lima Adun yang menandatangani kenyataan tersebut termasuk Phoong Jin Zhe (Adun Luyang merangkap Menteri Belia dan Sukan Sabah), Chiong Yoke Kong (Adun Tanah Rata, Pahang), Chow Yu Hui (Adun Tras, Pahang), Lee Chin Chen (Adun Bilut, Pahang) dan Leong Yu Man (Adun Triang, Pahang).

Kumpulan berkenaan berkata sebelum ini tiada bantahan apabila buku Transformasi Najib ketika era kerajaan terdahulu diedarkan ke sekolah-sekolah.

Najib baru-baru ini mendakwa komik berkenaan, yang diedar ke sekolah-sekolah menengah jenis kebangsaan dan sekolah kebangsaan bertujuan menyebarkan propaganda DAP dan komunis.

Hew pada bulan Julai 2016 keluar DAP selepas mencetuskan kontroversi dengan komentarnya yang menyatakan bahawa Laut China Selatan adalah milik China.

Walaupun tidak lagi menjadi ahli DAP, Hew masih mengekalkan hubungan rapat dengan parti itu.

Pengerusi DAP Tan Kok Wai, yang juga pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC), pada bulan Januari melantik Hew sebagai ketua pegawai eksekutif MCBC.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS