Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Komik BRI: Kita bertindak ikut undang-undang - Maszlee
Diterbitkan:  Oct 20, 2019 4:35 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mempertahankan arahan kementeriannya agar mana-mana sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di sekolah-sekolah.

Katanya, apa-apa buku atau bahan bersifat “propaganda” yang mahu diedarkan ke sekolah, perlu melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana semua bahan bercetak tertakluk pada undang-undang percetakan.

“Jadi kita bertindak atas undang-undang, ‘rule of law’ atau landasan undang-undang.

“Apa-apa hal kena rujuk kepada KDN kerana bahan cetak ada akta dia sendiri,” katanya kepada di Tanjung Piai seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

Komik BRI itu mula mendapat perhatian apabila pada 16 Oktober, Najib Razak mempersoalkan pengedaran percuma komik tersebut kepada sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di Pulau Pinang.

Komik itu diterbitkan hasil kerjasama antara kurator Muzium Kebudayaan dan komik Asia yang berpangkalan di Pulau Pinang, Hew Kuan Yau dengan artis tempatan Chong Po Ling.

Ekoran itu, Maszlee pada 17 Oktober menafikan pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedarannya, dan mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah agar ia tidak diterima dan diedarkan.

Kata Maszlee, sekolah sebagai institusi pendidikan yang neutral tidak seharusnya menjadi medan penyebaran propaganda politik.

Perkara itu dinafikan Hew yang menyifatkan komiknya itu mengandungi analisis yang baik mengenai BRI dan bukan propaganda DAP.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow juga memaklumkan komik itu tiada kaitan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang mahupun DAP.

Pengedaran komik itu mendapat kritikan beberapa pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), dan Pemuda Bersatu (Armada)

Bagaimanapun, ia dibela 43 pemimpin akar umbi DAP termasuk beberapa Adun, yang turut menyelar Maszlee dan menyifatkannya sebagai mengikut rentak Najib Razak apabila menghalang pengedaran komik tersebut.

KDN pada 18 Oktober berkata tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam penerbitan dan pengedaran komik itu, dengan menyifatakan terdapat “perkara tidak betul” di dalamnya.

Sementara itu, polis semalam mengesahkan telah mengambil keterangan pelukis komik itu sehari sebelumnya manakala satu atau dua lagi individu berkaitan penerbitannya juga akan dipanggil dalam masa terdekat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS