Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keputusan bebaskan Yazid Sufaat belum muktamad - Menteri
Diterbitkan:  Oct 19, 2019 9:55 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

Keputusan berhubung pembebasan anggota militan, Yazid Sufaat, belum dimuktamadkan setakat ini dan akan dibuat mengikut prosedur Lembaga Pencegahan Terorisme.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata Lembaga Pencegahan Terorisme akan mengadakan mesyuarat sebelum tempoh tamat tahanannya bulan depan, dengan meneliti pelbagai keadaan yang berlaku sepanjang tempoh tahanan termasuk kelakuan.

“Saya belum dapat keputusan muktamad, baru tadi saya semak perkara itu dan tempoh masa dua tahun tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota) mungkin akan tamat tidak lama lagi.

“Apa pun, ada prosedur sebelum keputusan dibuat secara muktamad melalui satu lembaga (Lembaga Pencegahan Terorisme) di mana lembaga itu akan meneliti keadaan-keadaan berlaku sepanjang tempoh tahanan bagaimana kelakuan dia (Yazid) , sama ada bertambah baik…berubah atau tidak. Itu akan diberitahu, selepas itu akan dibuat keputusan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Bersama Pemimpin, di Pontian hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Rela Zulkifli Abidin.

“Apa pun saya tidak boleh buat keputusan sebelum lembaga duduk (mesyuarat) dan lembaga belum lagi bersidang untuk mendengar kes ini,” katanya.

Dilaporkan, Yazid, 55, yang mempunyai kaitan langsung dengan serangan 11 Sept 2001 di Amerika Syarikat mungkin dibebaskan daripada tahanan bulan depan dan pembebasan itu mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai antiterorisme negara.

Yazid kini ditahan di Penjara Simpang Renggam, dekat Kluang, selama dua tahun di bawah POTA di mana akta berkenaan membenarkan suspek ditahan tanpa dibicarakan selama dua tahun.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS