Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Waspada pengkhianatan agenda rakyat, kata PKR
Diterbitkan:  Oct 19, 2019 1:12 AM
Dikemaskini: 5:12 PM

Majlis Pimpinan Pusat PKR, menggesa semua pihak berwaspada dengan mereka yang sedang membuat perancangan tersembunyi serta menyusun agenda politik tertentu demi keuntungan politik peribadi.

"Usaha-usaha yang mengkhianati amanah dan agenda rakyat ini jelas merupakan keterdesakan akibat daripada kegelisahan terhadap siasatan dan kemungkinan pendakwaan yang akan dijalankan ke atas mereka," katanya dalam kenyataan malam tadi.

MPP merupakan badan pembuat keputusan dalam PKR dan mengadakan mesyuarat bulanan, kebiasaannya pada Sabtu terakhir setiap bulan.

"PKR dan Pakatan Harapan (PH) akan sentiasa berwaspada dengan anasir-anasir dari rejim usang ini dan tidak akan membenarkan sesiapa sahaja baik dari luar mahupun dari dalam Pakatan Harapan sendiri untuk merampas kemenangan rakyat pada PRU14 yang lalu serta melenyapkan agenda reformasi yang telah diperjuangkan selama ini," jelas kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu berkata PKR dan PH akan sentiasa memberikan komitmen penuh dan berpegang teguh dengan janji transisi kepimpinan serta agenda-agenda reformasi.

"PKR memberi amaran dan berikrar bahawa kami akan bangkit melawan dan menentang habis-habisan sekiranya didapati pihak-pihak ini bertekad untuk membelakangi prinsip demokrasi dan meneruskan agenda jahat mereka yang jelas merupakan satu pengkhianatan kepada seluruh rakyat Malaysia," jelasnya.

PH baru-baru ini membuat kenyataan mengejutkan apabila mendakwa bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein mengadakan komplot untuk menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.

Hishammuddin juga didakwa cuba menghalang Presiden PKR, Anwar Ibrahim daripada menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun bekas menteri pertahanan itu menafikan dakwaan tersebut.

Sumber mendakwa sebaliknya, dan mendedahkan Hishammuddin bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu dalam PH bagi mencapai tujuan itu.

Malaysiakini berhubung dengan sejumlah sumber dan tiga nama turut dikaitkan iaitu Anggota Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin dan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof dari Bersatu; dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dari PKR.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS