Majoriti pengundi mahukan calon Melayu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang dijadualkan 16 Nov nanti, kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.
Annuar berkata ia berdasarkan kepada tinjuan akar umbi yang dilakukan parti itu bagi melihat mood pengundi Tanjung Piai.
Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada kebijaksanaan pemimpin BN untuk membuat keputusan berhubung calon yang akan diletakkan di kerusi tradisi MCA itu.
"Mood (pengundi) tempatan terlalu nak calon Melayu, sehingga kita naik gerun.
"BN kena berani letak calon Melayu, kena runding dengan MCA. Kita ada peluang untuk menang, kalau letak calon Cina lawan calon Melayu, kita (BN) kalah.
"Jadi itu kita serah kepada presiden untuk runding, kalau bertanding untuk kalah buat apa," katanya ketika ditemui Malaysiakini.
Pada 1 Okt lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini dan pengundian awal pada 12 November.
Bercakap pada sidang media di Putrajaya selepas mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRK itu, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun turut mengumumkan hari penamaan calon ditetapkan pada 2 November.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.
Dr Md Farid, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, seorang anestesiologi dari segi profesion, membantu PH merampas kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.
Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.
Wee memperolehi 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.
Calon MCA yang tewas pada PRU lalu, Wee Jeck Seng, berkata dia sedia untuk bertanding sekali lagi di situ, pada masa sama rakan komponen dalam BN, Umno turut menyatakan perkara serupa.
"Sebagai ketua bahagian, saya mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan kerusi itu dan saya sentiasa bersedia," katanya seperti dipetik The Malaysian Insight.
Dia berkata terpulang kepada parti untuk membuat keputusan dan masih terlalu awal untuk menyatakan dia akan dicalonkan atau tidak.
Bagaimanapun Umno Tanjung Piai mendakwa BN tewas di kerusi itu pada PRU lalu kerana MCA enggan melepaskan kawasan tradisinya itu kepada Umno.
Menurut laporan The Malaysian Insight, ketua Umno bahagian itu Jefridin Atan berkata pihaknya dan juga orang Melayu di situ sudah lama menuntut kerusi tersebut dan orang Melayu tidak mengundi BN pada PRU lalu selepas perkara itu tidak berlaku.
Sementara itu, Annuar berkata BN dijangka akan mengumumkan calon bagi PRK Tanjung Piai pada 28 Okt nanti.
“Kita mungkin umum nama calon pada 28 Oktober ini, sehari lepas perayaaan Deepavali,” katanya.
Annuar turut menjangkakan peratusan pengundi Cina akan merosot pada PRK Tanjung Piai nanti.
Katanya, peratusan keluar mengundi kaum itu mungkin di bawah 50 peratus manakala Melayu bakal mencatat lebih 80 peratus.