Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada pihak ketiga tuntut wang lebih RM2 juta Umno Pahang
Diterbitkan:  Oct 18, 2019 4:06 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tiada pihak ketiga berkepentingan yang hadir bagi menuntut wang berjumlah RM2,479,300.18 yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Badan Perhubungan Umno Bahagian Pahang yang dikatakan berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Rozana Ali Yusof yang turut dihadiri peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor yang mewakili Badan Perhubungan Umno Bahagian Pahang yang merupakan responden.

"Pada 10 September lalu, kami telah mewartakan notis kepada pihak ketiga untuk hadir, namun hari ini tiada sesiapa pun hadir ke mahkamah untuk menuntut. Sehubungan itu, saya memohon satu tarikh untuk memfailkan hujahan bertulis," katanya.

Mahkamah menetapkan 18 Nov untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis dan 6 Dis bagi mendengar permohonan kerajaan untuk melucut hak terhadap wang itu.

Pada 26 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan selaku pemohon untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan terhadap wang itu dalam permohonan melucut hak ke atas harta tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS