Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu komik China: Tak ada kaitan DAP, k'jaan P Pinang - KM
Diterbitkan:  Oct 18, 2019 9:50 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memaklumkan buku komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan' (BRI) tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri pimpinannya mahu pun DAP.

Ini walaupun komik berbentuk propaganda itu diterbitkan Muzium Kebudayaan Komik Asia.

"Muzium komik ini tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri atau DAP Pulau Pinang. Ia terletak di Komtar dan sejak beberapa tahun lalu, memang kerajaan negeri memberi peruntukan untuk membayar sewa premis di ICT Mall.

"Peruntukan itu diberikan kerana kerajaan negeri menganggap muzium ini salah satu produk pelancongan. Sebagai balasan, muzium ini telah memberi tiket secara percuma yang diedarkan di hotel dan sekolah di Pulau Pinang.

"Kita tidak tahu apa-apa tentang buku komik ini kerana kerajaan negeri tidak campur tangan dalam pengurusan dan pengendalian muzium ini," katanya, lapor Sinar Harian.

Menjelaskan lanjut, ketua menteri berkata hubungan antara kerajaan negeri dan Muzium Kebudayaan Komik Asia hanya berdasarkan penyaluran peruntukan tahunan sahaja.

"Hubungan kerajaan negeri hanya berdasarkan peruntukan tahunan untuk membiayai ruang sewaan muzium sahaja.

"Lain-lain perkara saya tidak dapat jawab kerana tidak ada pengetahuan tentang perkara ini (penerbitan komik). Sekali lagi saya tegaskan, muzium ini tidak ada kaitan dengan DAP Pulau Pinang," katanya lagi.

Malam tadi, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kementeriannya tidak pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedaran buku komik tersebut.

"Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik ini daripada mana-mana pihak atau pembekal.

"Sekolah merupakan institusi pendidikan yang neutral dan tidak seharusnya menjadi medan penyebaran propaganda politik," katanya.

Maszlee berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa komik berkenaan - yang menyebarkan propaganda komunis dan DAP - diedarkan secara percuma di sekolah.

Bagaimanapun, Kurator Muzium Kebudayaan dan komik Asia yang berpangkalan di Pulau Pinang, Hew Kuan Yau berkata komik berkenaan diterbitkan secara sah dan didaftarkan dengan ISBN (International Standard Book Number).

Komik berkenaan diterbitkan hasil kerjasama antara Hew dengan artis tempatan Chong Po Ling.

Untuk rekod, Hew lebih dikenali sebagai Superman di kalangan ahli-ahli DAP sebelum ini.

Beliau juga mengesahkan komik berkenaan dalam versi bahasa Melayu dihantar ke perpustakaan di sekolah-sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan secara percuma.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang juga exco pendidikan P Ramasamy juga menafikan bahawa Hew menyebarkan propaganda parti itu dan komunis di sekolah, dengan mengatakan "dia bukan lagi ahli DAP".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS