Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kementerian Pendidikan tak pernah luluskan komik 'Superman'
Diterbitkan:  Oct 17, 2019 9:47 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Kementerian Pendidikan tidak pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedaran buku komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di sekolah-sekolah, kata menterinya, Dr Maszlee Malik.

"Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik ini daripada mana-mana pihak atau pembekal.

"Sekolah merupakan institusi pendidikan yang neutral dan tidak seharusnya menjadi medan penyebaran propaganda politik," katanya dalam kenyataan disiarkan di Facebook.

Maszlee berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan bekas Perdana Menteri Najib Razak bahawa komik berkenaan - yang menyebarkan propaganda komunis dan DAP - diedarkan secara percuma di sekolah.

Kurator Muzium Kebudayaan dan komik Asia yang berpangkalan di Pulau Pinang, Hew Kuan Yau berkata komik berkenaan diterbitkan secara sah dan didaftarkan dengan ISBN (International Standard Book Number).

Komik berkenaan diterbitkan hasil kerjasama antara Hew dengan artis tempatan Chong Po Ling.

Untuk rekod, Hew lebih dikenali sebagai Superman di kalangan ahli-ahli DAP sebelum ini.

Beliau mengesahkan komik berkenaan dalam versi bahasa Melayu dihantar ke perpustakaan di sekolah-sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan secara percuma.

"Kandungannya adalah analisis yang baik mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), ia bukan propaganda DAP atau propaganda komunis.

"Ini adalah untuk pelajar mengetahui lebih lanjut mengenai dasar mega BRI, dari teori kepada amalan," kata Hew.

Hew berkata buku itu telah disampaikan kepada pemimpin-pemimpin tertinggi China seperti Presiden China Xi Jinping oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada bulan April tahun ini.

Dalam hantaran Facebook semalam, Najib bertanya Maszlee sekiranya kementerian pendidikan membenarkan pengedaran komik berkenaan di sekolah-sekolah.

Najib mendakwa Muzium Kebudayaan Komik Asia yang dibiayai oleh kerajaan Pulau Pinang menyebarkan propaganda melalui komik berkenaan.

"Propaganda dalam komik ini mengagung-agungkan parti DAP, memberi bayangan bahawa kerajaan Malaysia hipokrit dalam layanan kepada komunis dan memburuk-burukkan kerajaan lama serta saya dan keluarga saya," katanya.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang juga exco pendidikan P Ramasamy juga menafikan bahawa Hew menyebarkan propaganda parti itu dan komunis di sekolah, dengan mengatakan "dia bukan lagi ahli DAP".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS