Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Industri Utama Teresa Kok kerana mengaitkanya dengan rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 25 Disember lalu.
Jelasnya, ini berhubung insiden di himpunan pada tarikh tersebut yang mendakwa Kok mempunyai kaitan dengan pemaju One City Development yang merupakan pemilik tanah tapak kuil berkenaan.
“Saya membuat penyebaran permohonan maaf ini melalui media secara tiada paksaan dan menghormati keputusan dan perintah mahkamah yang mulia selari dengan prinsip saya dan JMM yang mendokong keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang undang,” katanya.
Sebagai penyelesaian di luar mahkamah, selain daripada permohonan maaf, Kok juga menuntut bayaran untuk penyelesaian kes.
Terdahulu, pertelingkahan itu bermula apabila pemaju, One City Development didakwa mengupah samseng bagi mengambil alih kawasan kuil berkenaan yang seterusnya menyebabkan rusuhan pada 25 dan 26 November tahun lalu.
Rusuhan berkenaan menyebabkan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dan seterusnya meninggal dunia pada 17 Dis lalu.
Pemaju bagaimanapun menafikan dakwaan yang mengatakan pihaknya mengupah samseng.
Sementara itu, satu himpunan pada 25 Disember anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) diadakan bagi menuntut keadilan Adib dan mendesak pemecatan menteri perpaduan P Waythamoorthy.
Dalam ucapan di perhimpunan itu, Azwanddin mendakwa Kok tidak menafikan kaitannya dengan pemaju berkenaan.
Selain itu, Kok juga dilaporkan meminta dirinya tidak dikaitkan dengan insiden rusuhan berkenaan dan bertindak untuk menyaman Azwanddin atas kenyataan yang berbaur fitnah tersebut.
Bagaimanapun kes saman fitnah yang difailkan itu diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai lepas.
Peguam SN Nair yang mewakili Kok berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes secara baik di luar mahkamah selepas defendan (Azwanddin) bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf yang diterbitkan di tiga surat khabar iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily.
Dalam kenyataan yang sama, Azwanddin turut membuat permohonan maaf kepada timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong atas tuduhan memakai "seragam komunis" walaupun ia sebenarnya baju korporat bush jaket yang disediakan Kementerian Pertahanan.
Untuk rekod, Pada 28 Ogos lalu, kedua-dua pihak tersebut sudah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan secara baik di depan hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar.