Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gaji minimum naik, timbalan menteri gesa majikan bersedia kongsi untung

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berpandangan pihak majikan perlulah bersedia untuk mula berkongsi keuntungan dengan pihak pekerja.

Ini susulan keputusan kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,200 sebulan di wilayah bandar-bandar utama, berbanding RM1,100 sekarang ini.

“Bagi saya, mereka harus bersedia untuk berkongsi keuntungan untuk penjanaan ekonomi yang lebih luas kepada negara kita, diberikan kepada pekerja, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika selepas merasmikan Majlis Penutup Sambutan Minggu Bahasa Kementerian Sumber Manusia 2019 di Putrajaya, selepas diminta mengulas tentang sebahagian majikan yang mungkin terbeban dengan jumlah itu.

Katanya, kerajaan mengambil langkah berkenaan selepas mengambil kira faktor untuk tidak membebankan golongan majikan atau pekerja.

Malah, katanya, ia tidak dijalankan di semua wilayah, sebaliknya hanya sebahagian wilayah bandar besar yang akan terbabit dengan kenaikan tersebut.

“Ada bandar yang masih kekal RM1,100, ada yang kos sara hidupnya tinggi, jadi akan dikategorikan (bergaji minimum) RM1,200,” katanya lagi.

Berkuat kuasa Januari 2019, kerajaan PH telah menaikkan gaji minimum kepada RM1,100 sebulan, sesuai dengan manifestonya untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan secara berpringkat.

Dalam Janji ke-34 Buku Harapan, PH menyatakan komitmen untuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 dalam penggal pertama pentadbirannya, dan akan menyemak kadar itu setiap dua tahun.

Ia juga komited untuk menaikkan kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak agar setara dengan Semenanjung.

Sementara itu, Mahfuz turut diminta mengulas pandangan sesetengah pihak yang merasakan kenaikan RM100 itu terlalu sedikit.

Katanya, rasa tidak puas hati terhadap gaji yang diterima sememangnya menjadi sesuatu yang lazim untuk banyak pihak.

“Memanglah kalau kita lihat, semua orang takkan berpuas hati terhadap gaji yang mereka terima. Kalau seseorang yang terima gaji sampai RM2,000 lebih pun, mungkin dia rasa masih tak mencukupi.

“Tapi bagi saya, kerajaan mempunyai pendekataan untuk memastikan kestabilan dan lonjakan ekonomi dalam negara kita,” katanya lagi.

Antara wakil rakyat yang mengkritik kenaikan RM100 gaji minimum ialah anggota parlimen Subang, Wong Chen, yang mendakwa nilai itu terlalu sedikit ketika perdebatan belanjawan di Dewan Rakyat semalam.

Dalam ucapannya, Wong mempersoalkan sama ada menteri sanggup hidup dengan gaji RM1,200 sebulan, sebelum meminta kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 untuk tahun hadapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS