Bermula dengan ciapan Twitter mengenai keadaan keretanya yang rosak teruk, seorang pemandu lori menjadi salah seorang kenalan anggota parlimen Lembah Pantai dan mendapat 'tuah' apabila masalah matanya berjaya diatasi.
Yap Chi Hoe, 39, dari Klang, Selangor, menjalani pembedahan mata di Hospital Pantai, Kuala Lumpur, semalam akibat masalah pemisahan retina kronik (chronic retinal detachment) dan dibenarkan pulang hari ini.
Sebelah lagi matanya pula perlu dirawat menggunakan laser.
Terdahulu Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, menciap sesuatu mengenai keadaan daif kereta dipandu Yap dan sesetengah pihak menganggap ia bersifat menghina.
Bagaimanpun, kata Fahmi, ciapan itu disalah faham namun enggan memanjangkan isu berkenaan lalu meminta maaf secara terbuka serta menawarkan bantuan.
Fahmi kemudian dapat menghubungi Yap dan mencadangkan untuk mereka bertemu supaya beliau dapat menyampaikan permohonan maaf tersebut secara peribadi.
Bagaimanapun, kata Fahmi, Yap tidak yakin dan enggan bertemu dengannya.
"Maka saya anggap cerita ini tertutup di situ.
"Namun selepas beberapa hari, Yap pula menghubungi saya dan setuju untuk bertemu. Saya mendapat cerita penuh dari beliau," katanya.
Berdasarkan keterangannya, Yap mendakwa dia terlibat dalam kemalangan di lebuh raya apabila keretanya dilanggar lori kontena dari belakang.
Walaupun patut menunggu trak penunda, kata Fahmi, Yap membuat keputusan memandu keretanya yang remuk kerana perlu menghadiri temu janji yang dibuat lebih awal.
"Dari perbualan itu saya dapati dia sedang menghadapi masalah penglihatan yang mungkin menyebabkan kehilangan penglihatan total.
"Saya kemudian membuat keputusan untuk mengusahakan bantuan sebaik mungkin untuk Yap," katanya.
Melalui kerjasama Hospital Pantai, kata Fahmi, mata Yap kemudian dibedah secara pro bono melalui program tanggungjawab khidmat sosial pusat perubatan itu.
"Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai, Erica Lam dan pakar mata, Dr Manoharan Shunmugam atas bantuan mereka untuk kes ini.
"Pembedahan itu dijalankan semalam dan hari ini saya melawat beliau.
"Tiada masalah sampingan dari pembedahan, dan beliau akan dibenarkan pulang hari ini," katanya.
Fahmi menambah, Yap akan diberikan rawatan susulan selepas ini dan yakin kesihatan mata pemandu lori itu akan bertambah baik.
Katanya, kereta dipandu Yap sebelum ini juga dianggap lupus total dan pihak insurans akan memberikan bantuan sewajarnya.