Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kehilangan paksa Amri, paderi Koh: Kita tunggulah, kata Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak memberi masa untuk pasukan jawatankuasa khas menjalankan siasatan terhadap kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Katanya, pasukan khas itu diberikan masa selama enam bulan untuk menjalankan siasatan mereka dari tarikh lantikan, iaitu pada 26 Jun lalu.

“Mereka masih menjalankan tugas [...].

“Kita bagi dari tarikh lantikan sehingga enam bulan, jadi sementara belum ada laporan balik kepada kita, kita tunggulah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pendaftaran Negara di bangunan Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita tentang perkembangan siasatan pasukan khas yang dilantik menyiasat kehilangan dua individu tersebut.

Penubuhan jawatankuasa khas itu diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 23 Mei, susulan pendedahan laporan inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ketika membentangkan laporan inkuiri tersebut, Suhakam pada 3 April bahawa polis Cawangan Khas (SB) terlibat dalam kehilangan paksa Koh yang diculik pada 2017 dan dan Amri Che Mat yang hilang pada 2016.

Laporan yang setebal kira-kira 100 muka surat setiap satu itu membuat kesimpulan itu daripada inkuiri 18 bulan yang dijalankan terhadap kehilangan kedua-dua individu berkenaan, dengan prosiding inkuiri dipengerusikan pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai (ketika itu) yang juga merupakan bekas hakim mahkamah rayuan.

Bagaimanapun, inkuiri Suhakam itu dibidas sesetengah pihak, yang menyifatkannya sebagai berat sebelah kerana tiada peguam dari pihak PDRM tampil membela diri sedangkan kedua-dua keluarga mempunyai barisan peguam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS