Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah sorot soalan ‘setuju ya’ Isa Samad dalam mesyuarat

Perbicaraan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa minggu kedua terhadap Mohd Isa Samad hari ini menyorot soalan “setuju ya?” bekas pengerusi Felda itu dalam mesyuarat lembaga pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Saksi menolak pandangan peguam bahawa SPRM cuba memaksanya serta memasukkan perkataan tersebut dalam pernyataan keterangannya.

Ruzeti Emar Mohd Rosli, saksi ke-14, memberitahu mahkamah bahawa SPRM tidak memaksa atau masukkan sendiri perkataan "setuju ya" dalam pernyataan keterangan untuk cuba memberi persepsi bahawa Isa Samad mempengaruhi pembelian hotel Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS).

"Saya tidak setuju (saya dipaksa masukan perkataan "Kita setuju ya? Setuju ya" dalam keterangan)," katanya ketika pemeriksaan balas oleh Salehuddin Saidin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Salehuddin: Adakah kamu setuju perkataan "Kita setuju ya? setuju ya?" datang dari SPRM?

Ruzeti: Tidak.

Salehuddin: Adakah kamu setuju dipaksa (oleh SPRM) untuk membesarkan atau cuba (mengatakan) Tan Sri Isa Samad pengaruhi mesyuarat?

Ruzeti: Tidak.

Salehuddin: Adakah kamu setuju perenggan 23 (dalam pernyataan keterangan) tidak betul?

Ruzeti: Tidak.

Terdahulu, Ruzeti memberitahu mahkamah bahawa cadangan pembelian hotel Merdeka Palace & Suites (MPHS) bernilai RM160 juta dianggap mendapat persetujuan oleh ahli lembaga pengarah (ALP) FIC selepas tiada yang membantah.

Menurutnya, ALP tidak menyatakan bantahan ketika ditanya oleh Isa sama ada mereka setuju dengan pembentangan kertas cadangan oleh bekas Ketua Pengarah Eksekutif Mohd Zaid Abdul Jalil dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah bertarikh 29 April 2014 (mesyuarat kesepuluh).

"Cadangan pembelian MPHS yang telah ditolak pada mesyuarat SLP FIC (mesyuarat kelapan) tetapi dimasukkan semula dalam mesyuarat yang kesepuluh.

“Mohd Zaid telah membentangkan kertas lembaga cadangan pembelian hotel MPHS maklumat yang lebih terperinci berbanding mesyuarat FIC yang keenam dan kelapan.

"Selepas pembentangan, Tan Sri Isa Samad bertanya kepada semua ahli-ahli lembaga pengarah yang hadir ‘kita bersetuju ya? Setuju ya?’

“Dan semua ALP yang lain tidak menyatakan mereka tidak bersetuju makan dianggap sebagai persetujuan sebulat suara," katanya.

Salehuddin meminta Ruzeti menerangkan bagaimana keterangan beliau berbeza dengan saksi ke-13, (Wong Siew Yeen) yang mengesahkan di mahkamah semalam bahawa keputusan pembelian MPHS diambil secara sebulat suara di mesyuarat yang dihadiri kedua-dua mereka.

Salehuddin turut bertanya kenapa perkataan "Kita setuju ya? Setuju ya?" tidak dicatat dalam dalam minit mesyuarat.

Membalas soalan Salehuddin, Ruzeti berkata bahawa pernyataan keterangan beliau berdasarkan ingatannya ketika menghadiri mesyuarat tersebut.

Ruzeti, 45, merupakan pengurus syarikat Symphony Corporatehouse Sdn Bhd (penolong pengurus ketika itu) merupakan agensi dilantik untuk memberi khidmat luaran kesetiausahaan kepada FIC.

Manakala, Wong merupakan bekas pengurus kanan juga merupakan ketua Ruzeti dalam syarikat itu.

Beliau turut menolak bahawa pernyataan keterangan olehnya tidak untuk memberi tanggapan bahawa Isa Samad cuba pengaruh mesyuarat tersebut.

"Saya tidak setuju, (bahawa) keterangan saya memberi pandangan bahawa Isa Samad pengaruh (mesyuarat). Saya tidak kata begitu. Keterangan saya berdasarkan ingatan saya," jelasnya.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015.

ALP yang membuat keputusan pada mesyuarat lembaga (mesyuarat kelapan) FIC bertarikh 26 Februari 2014, cadangan pembelian hotel tersebut tidak diteruskan selepas ahli lembaga diberitahu FIC akan ambil masa 27 tahun untuk mendapatkan keuntungan.

Bagaimanapun, pada mesyuarat kesepuluh ALP bersetuju untuk membeli hotel tersebut dengan harga tidak melebihi RM160 juta - kenaikan RM23 juta berbanding kos keseluruhan pembelian hotel MPHS berharga RM137 juta yang dibincangkan pada mesyuarat ALP sebelumnya.

Perbicaraan diadakan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS