Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Juri Piala Tun Razak jawab kritikan isu tajuk debat
Diterbitkan:  Oct 15, 2019 10:28 PM
Dikemaskini: Oct 16, 2019 3:54 AM

Pengadil pertandingan debat Piala Tun Razak 2019 hari ini mengulas kritikan terhadap tajuk debat yang menyentuh soal Islam dan Quran.

Dalam kenyataan bersama, ketua pengadil bersama Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal berkata usul debat itu hanya bersifat hipotetikal dan bukan cubaan untuk membawa "agenda liberal".

Ia susulan kenyataan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar yang mendakwa tajuk itu tidak sensitif terhadap agama Islam dan mendesak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan.

Beliau juga membangkitkan siu pelajar sekolah agama menjadi pihak yang membela usul untuk "menulis semula" Quran.

Dalam kenyataan itu, Aidil dan Iyad berkata secara realitinya tiada siapa yang dapat menulis semula Quran kerana ia adalah perintah dari Allah.

"Usul ini bukan dibuat bukan dengan niat untuk indoktrinasi kepada pendebat muda atau satu bentuk agenda liberal dari sesiapa.

"Debat adalah kegiatan di mana peserta perlu berfikir di luar kotak, tidak mengehadkan pandangan alam dan pada masa sama tidak mengorbankan kepercayaan mereka, selain sedia untuk berfikir secara kritikal," kata mereka.

Mereka turut memohon maaf jika perkara itu mencetuskan rasa tidak selesa kepada pihak terlibat.

"Jika ada pihak yang mendapati perkara ini tidak sensitif dan menyinggung, kami dan jawatankuasa penganjur sepenuh hati memohon maaf atas rasa tidak senang yang dicetuskan," kata mereka lagi.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Tinggi sedang meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap penganjur debat itu.

Isu itu juga menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyuarakan bantahannya terhadap tajuk itu.

"Penganjur patut pilih topik lain. Ia tidak sesuai terutama berdasarkan ajaran Islam," katanya seperti dipetik New Straits Times.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS