Adun DAP yang juga pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari, memberi jaminan Malaysia akan kekal sebagai negara yang memiliki raja berperlembagaan walaupun jika wujud tekanan untuk menjadi republik.
Kata Adun Tebing Tinggi di Perak itu, bukan saja kedudukan raja-raja Melayu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, ia juga sejak sekian lama menjadi sebahagian daripada masyarakat dan terlalu sukar untuk diubah.
Menurut Abdul Aziz jika diadakan referendum untuk mengetahui sikap orang ramai mengenainya pun, ia tidak akan mengubah apa-apa.
"Isu referedum ini tak menentukan apa-apa dan ia hanya menggambarkan pemikiran sesuatu kelompok manusia sama ada mereka suka atau tidak (sesuatu isu) pada masa tertentu," katanya.
Exco Perak itu berkata demikian semasa menghadiri forum di Bangi hari ini.
Sebelum itu seorang peserta bertanya sama ada negara ini berdepan kemungkinan menjadi republik.
Dia juga bertanya sama ada undang-undang yang ada sekarang mampu melindungi raja-raja daripada sebarang cubaan untuk menyingkirkan mereka.
Kata Abdul Aziz referendum sebegitu tidak mampu mencetuskan perubahan drastik dalam sistem bernegara dan memberikan contoh United Kingdom (UK) dan Australia yang tetap mengekalkan monarki British sebagai ketua kerajaan walaupun ia tidak popular dalam kalangan orang ramai sebelum ini.
"UK adalah contoh terbaik. Mereka tak ada pun mencatatkan (kedudukan monarki) dalam perlembagaan tetapi sehingga sekarang mereka tidak mampu mengubah sistem negara menjadi republik," katanya.
Pada masa sama, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu percaya, Malaysia akan kekal sebagai negara yang ditadbir secara raja berperlembagaan walau apa pun yang berlaku.
"Saya tak bimbang Malaysia akan bertukar menjadi republik [...] kerana raja-raja adalah sebahagian daripada kita.
“[...] Saya yakin sistem kerajaan kita tidak akan bertukar," katanya.