Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hentikan kempen k'jaan baru tanpa DAP dan Amanah, kata PH
Diterbitkan:  Oct 15, 2019 9:07 PM
Dikemaskini: 1:17 PM

PH hari ini mendakwa bekas menteri kanan, Hishammuddin Hussein, bertanggungjawab menggerakkan kempen membentuk kerajaan baru dengan mengetepikan Amanah dan DAP.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan malam ini PH membayangkan gerakan mencadangkan idea itu itu dilakukan Hishammuddin bersama beberapa pihak lain.

"Hishammuddin dalam penulisan dan wawancaranya memberi isyarat yang cenderung untuk kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.

"Ini adalah amalan politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori PH," kata kenyataan itu.

Ia ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Terdahulu semasa berucap di Dewan Rakyat, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, turut membuat kenyataan mengenai usaha pihak tertentu dengan menyentuh pembabitan anggota parlimen Sembrong itu.

"Ini masalahnya nak ikut sangat Sembrong... semua karut.

"Semua ini kadang-kadang nak survive diri, nak tutup siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Kita tak mahu itu.

"Politik ini bukan kerana ugutan, (tapi) mesti ada prinsip, sama ada didakwa di mahkamah atau diugut masuk penjara, prinsip jangan digadai. Beritahu Sembrong," katanya. 

Menurut kenyatan bersama itu lagi, pada 7 Jan 2018, PH menggariskan beberapa teras yang menjadi faktor menyatukan mereka bersama rakyat untuk kemudiannya menolak BN yang berdiri pada asas politik perkauman sehingga membawa negara ke kancah kleptokrasi global yang mengaibkan.

"Itulah asas kepada mandat yang telah diberikan rakyat pada PRU ke-14 dan amanah itu tidak wajar dicagarkan demi kepentingan politik," kata mereka.

Sebarang cubaan 'nakal' untuk mengembalikan politik perkauman selepas detik 9 Mei 2018, kata PH, adalah langkah ke belakang dan ia tidak akan dicatat dalam sejarah, walaupun sekadar bertaraf nota kaki.

Bahkan, kata PH, ia hanya membuka peluang kepada para kleptokrat dan konco-konco mereka untuk kembali berkuasa.

PH juga berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 1991 pernah menyatakan wawasannya untuk mewujudkan Malaysia yang mempunyai matlamat dikongsi bersama serta mewujudkan negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS