Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pindaan berkaitan undang-undang bunuh diri sedang dikaji’
Diterbitkan:  Oct 15, 2019 2:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

PARLIMEN l Kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara masih berusaha untuk meminda undang-undang berkaitan bunuh diri bagi menangani isu peningkatan jumlah cubaan membunuh diri di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata undang-undang sedia ada itu termasuklah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang diguna pakai pihak berkuasa ketika ini memerlukan kajian dan rundingan terperinci dengan beberapa pemegang taruh.

“Antara pemegang taruh yang dirunding ialah Kementerian Kesihatan Malaysia; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pendidikan; Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Belia dan Sukan; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; Befrienders Kuala Lumpur; dan Persatuan Psikiatri Malaysia.

“Fokus kajian ini tertumpu bukan kepada Seksyen 309 Kanun Keseksaan, Akta 574 tetapi juga termasuk Seksyen 305 dan 306 berkaitan kesalahan bunuh diri, ” katanya dalam waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Kevin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu status kerajaan dalam usaha meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk menjadikan cubaan membunuh diri sebagai satu jenayah, bagi menangani isu peningkatan jumlah cubaan membunuh diri di seluruh negara.

Selain itu, Liew berkata kerajaan juga sedang menjalankan kajian perbandingan perundangan mengenai kesalahan serupa yang dilaksanakan di United Kingdom, Australia, Pakistan dan India bagi melihat pendekatan yang diambil di negara itu.

Menjawab soalan tambahan Yii mengenai tempoh masa untuk memansuhkan seksyen itu supaya golongan yang cenderung membunuh diri tidak dianggap sebagai penjenayah, Liew berkata kerajaan telah menyediakan kertas kajian untuk diedarkan kepada pihak berkepentingan untuk mendapatkan pandangan bagi menggubal satu strategi yang komprehensif bagi menangani masalah itu.

“Akta ini sudah wujud sejak sebelum kemerdekaan dan setakat ini untuk proses ‘decriminalise’, perlu ambil masa yang amat panjang dan kena adakan rundingan dengan pihak berkepentingan untuk laksana strategi negara.

“Saya harap dalam masa terdekat kita akan ada undang-undang yang bukan menghukum tetapi memberi pertolongan kepada mereka,” tambahnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS