WAWANCARA | Pada hujung Disember 2018, kerajaan Thailand meluluskan pindaan terhadap undang-undang narkotik negara itu yang menyaksikan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan tidak lagi menjadi satu kesalahan jenayah.
Usul pindaan tersebut diluluskan parlimen negara jiran itu selepas mendapat 166 undi yang menyokong dengan tiada yang menentang dan 13 undi berkecuali.
Hospital Chaophraya Abhaibhubejhr (disebut Abhaiphubeth) terletak di wilayah Prachin Buri kira-kira 150km dari pusat ibu kota Bangkok. Ia merupakan hospital kerajaan sulung di Thailand yang membuka klinik ganja untuk rawatan bagi pesakit pada 24 Jun tahun ini dan kini sedang mengusahakan penanaman ganja untuk dijadikan ubat.
Menariknya, ia juga merupakan hospital pertama di Thailand yang menggabungkan perubatan moden dan herba tradisional sejak 36 tahun lalu.
Di Malaysia, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memberitahu Dewan Rakyat pada 27 Mac lalu bahawa terdapat "ruang mendapat keizinan" untuk kajian klinikal terhadap penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.
Bagaimanapun, ia masih diperdebatkan ramai pihak yang bimbang dengan isu penyalahgunaan ganja sebagai dadah.
Wartawan Malaysiakini menemubual individu yang menjadi tulang belakang di sebalik ikhtiar tersebut di hospital itu.
Dr Supaporn Pitiporn, 58 ialah ketua pengarah Jabatan Farmasi Hospital Chaophraya Abhaibhubejhr.
Ketika memulakan kerjayanya di hospital berkenaan pada 1983, beliau antara individu awal yang bertanggungjawab bekerja di makmal yang menghasilkan ubatan berasaskan herba dengan kaedah saintifik.
"Kami adalah hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Awam Thailand. Tetapi kami juga adalah hospital pertama di Thailand kira-kira 30 tahun lalu yang membawa perubatan tradisional untuk digunakan bersama perubatan moden.
"Sekarang ini, (sejak tahun 2000) menjadi polisi kerajaan Thailand untuk memasukkan ubat-ubatan tradisional ke dalam perubatan moden.
"Jadi jika kamu ke hospital kerajaan di Thailand, saya boleh katakan 95 peratus hospital turut menyediakan ubat-ubatan tradisional.
"Hospital-hospital ini memberikan preskripsi ubat herba kepada pesakitnya," kata beliau yang merupakan graduan bidang farmasi dari Universiti Mahidol, Bangkok.
Dr Supaporn turut mendapat doktor falsafah dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan dari universiti yang sama pada 2003.
Beliau lahir dan dibesarkan dalam keluarga pesawah padi miskin di wilayah Nakhon Nayok, tidak jauh dari Prachin Buri. Hal ini menjadi motivasinya untuk berkecimpung dalam kerjaya di bidang perubatan.
Selain itu, minat terhadap bidang perubatan tradisional Thai telah mendorong beliau membuat kajian dan penyelidikan yang mendalam.
Beliau mendapat pendedahan awal mengenai herba daripada dua pengamal perubatan tradisional Thai, mendiang Bunmee Dairoek dan Suan Simaphrik.
Ketika zaman awalnya berkhidmat di hospital itu, Supaporn akan menghabiskan cuti hujung minggunya bersama dua mentornya meredah hutan Khao Yai di Nakhon Nayok untuk belajar mengenal dan mengutip pelbagai tumbuhan herba.
"Apa yang penting daripada semua tumbuhan herba ini adalah bahan kimia aktif yang berguna sebagai ubat," jelasnya.
Selama lebih 30 tahun, Supaporn telah mengumpulkan pengetahuan perubatan berasaskan herba daripada ratusan pengamal perubatan tradisional Thai.
Sebahagian daripada mereka malahan menghadiahkan kitab dan catatan keilmuan tradisional itu kepada Supaphorn.
Kini, khazanah tersebut dipamerkan di bangunan lama hospital berkenaan yang kini menjadi Muzium Perubatan Tradisional Thai.
Bangunan lama hospital itu juga mempunyai sejarah panjang. Asalnya ia dibina oleh gabenor wilayah ketika itu, Chaophraya Abhaibhubejhr pada 1909 untuk dijadikan istana hinggap buat Raja Chulalongkorn sekiranya baginda melawat Prachin Buri.
Bagaimanapun Raja Chulalongkorn mangkat pada 1910 sebelum bangunan yang direka dan dibangunkan oleh firma seni bina Perancis, Howard Erskine itu siap.
Pada 1924, bangunan tersebut kemudiannya menjadi hadiah perkahwinan kepada Raja Rama Keenam Siam, Raja Vajiravudh yang mengahwini anak Chaophraya Abhaibhubejhr, Puteri Suvadhana.
Selanjutnya, Raja Rama Keenam menghadiahkan bangunan tersebut untuk dijadikan hospital tentera, salah satu dari 19 hospital wilayah yang terawal ditubuhkan di Thailand pada 1941.
Daripada sebuah makmal kecil kajian dan penyelidikan (R&D) herba pada awal 1980-an, kini ia berkembang menjadi kilang moden dengan kelengkapan canggih yang menerima tauliah piawaian antarabangsa Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Skim Kerjasama Pemeriksaan Farmaseutikal (PICS).
"Kami juga menghasilkan produk (perubatan herba) yang mendapat tauliah GMP, PICS untuk membuka kilang farmaseutikal. Daripada penanaman ladang herba sehinggalah penghasilan ubatan.
"PICS itu piawaian Kesatuan Eropah, hospital kami mengeluarkan ubatan herba berdasarkan piawaian tersebut.
"Kami adalah pakar dalam bidang perubatan herba," katanya.
Produk herba Hospital Abhaibhubejhr membuahkan hasil pendapatan lumayan bermula daripada sekitar beberapa juta baht pada 1997 menjadi lebih$300 juta bath (kira-kira RM41,252,753) setahun pada hari ini.
Supaporn telah menerima lebih sepuluh anugerah negara atas pengabdiannya dalam bidang perubatan herba Thai secara saintifik.
Beliau juga telah mengarang sepuluh buah buku mengenai perubatan herba Thai (Banthuek Khong Phandin - Rekod Tanah Ini).
Malah pada 2005, hasil usaha gigihnya pusat pengajian perubatan moden Universiti Burapha, Bangkok telah menubuhkan Fakulti Perubatan Tradisional Thai Abhaibhubejhr.
Ditanya mengenai motivasinya terhadap perubatan berasaskan herba Thai, khususnya ganja, Dr Supaporn berkata pendekatan saintifik diperlukan seiring dengan peredaran zaman dan teknologi.
"Kerana saya percaya herba memberikan bahan-bahan kimia untuk digunakan sebagai ubat kepada orang ramai. Untuk merawat penyakit.
"Terdapat bahan kimia daripada tumbuhan, kanabis (ganja) cuma satu pokok daripada herba-herba itu," katanya.
Produksi haram terdedah kontaminasi
Menurut Supaporn lagi, beliau mahu pesakit mendapatkan akses terhadap ganja perubatan secara sah di hospital.
"Tetapi kami perlu mengawal (pengambilan) dos tumbuhan ini.
"Ini kerana produksi secara tidak sah terbuka untuk kontaminasi, misalnya terdedah kepada racun serangga dan tidak berkualiti," jelasnya.
Menjawab soalan mengenai harapan masa depan ganja perubatan di negaranya, Dr Supaporn berkata beliau berharap Thailand akan menjadi peneraju dalam bidang itu.
"Saya harap hospital ini akan dapat menghasilkan ubat-ubatan daripada kanabis.
"Saya harap Thailand dapat menjadi peneraju dalam bidang ini kerana pada masa lalu herba tersebut memang digunakan oleh orang ramai.
"Kami mengawal secara ketat penanaman, penghasilan dan pengedaran kanabis sebagai ubat," katanya lagi.
Bagaimanapun, kata Supaporn setakat ini pengubatan berasaskan ganja cuma terbuka untuk warga negara Thai sahaja dan hanya dilaksanakan di hospital kerajaan.
"Program ini terbuka hanya untuk pesakit warga Thailand.
"Di Thailand perkhidmatan kesihatan diberikan secara percuma oleh kerajaan dan hospital kerajaan memberikan minyak kanabis secara percuma kepada rakyat Thai," jelasnya lagi.
Malaysiakini turut berpeluang meninjau ladang ganja untuk perubatan di Hospital Abhaibhubejhr yang menggunakan tiga kaedah penanaman; sistem tertutup dengan kawalan penuh terhadap suhu, cahaya dan zat pokok; sistem greenhouse hidroponik dan tanah organik; sistem terbuka kebun organik.
Esok: Menyemai ganja di Hospital Chaophraya Abhaibhubejhr