Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menyemai benih perpaduan Melayu tanpa pinggir kaum lain

ULASAN | Sejak akhir-akhir ini, banyak pihak bercakap tentang perpaduan. Sama ada tentang kerjasama antara parti politik mahupun penyatuan Melayu.

Dalam hal ini, pendirian saya konsisten – sentiasa menyokong sebarang usaha untuk menyatukan rakyat Malaysia, tidak kira bangsa mahupun warna kulit.

Saya sokong kerana saya sedar bahawa perpaduanlah asas kejayaan sesebuah negara. Jika tidak, mana mungkin usaha menyatukan masyarakat termasuklah orang Melayu telah dimulakan sejak sebelum Merdeka lagi.

Pada tahun 1946 misalnya, datuk saya sendiri, Allahyarham Dato’ Onn Ja'afar telah mengadakan mesyuarat dengan lebih 40 pertubuhan Melayu, bagi berbincang dan menyeru orang Melayu agar bersatu menentang Empayar British serta pembentukan Malayan Union.

Lebih bermakna, usaha beliau inilah, yang menyebabkan tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno). Tidak terhenti setakat itu, Dato’ Onn juga sanggup meletakkan jawatan dalam Umno pada tahun 1951, selepas cadangannya untuk membuka keahlian Umno kepada semua kaum ditentang oleh sebahagian besar ahli Umno pada ketika itu.

Lihatlah, betapa besarnya visi Dato’ Onn dalam menyatukan rakyat. Beliau sedar dan sanggup akui bahawa Malaysia tidak akan berjaya jika hanya bersandarkan kepada kekuatan Melayu semata-mata.

Mengulang tulis sejarah

Hari ini, sama ada kita sedar atau tidak, sesetengah usaha dan keputusan yang kita buat seolah-olah sedang mengulang tulis sejarah yang telah dicoretkan oleh Allahyarham Dato’ Onn. Lihat sahajalah kepada usaha Muafakat Nasional dan penganjuran Kongres Maruah Melayu.

Tujuan utama pelaksanaannya, ialah kita mahu menyemai benih perpaduan dalam kalangan orang Melayu, tanpa sedikitpun berniat untuk meminggirkan kaum-kaum lain.

Tujuannya juga ialah, kita mahu memenuhi harapan nenek moyang kita dahulu, yang mengimpikan sebuah negara berbilang bangsa yang bukan sahaja maju, tetapi juga aman lagi sejahtera.

Malangnya, seperti yang saya jangkakan akan ada sahaja pihak yang tidak senang dengan usaha ini, lalu dengan sengaja menimbulkan retorik perkauman.

Sehinggakan sebahagian orang bukan Melayu mula berasa terancam dan dipinggirkan. Akhirnya, bukan sahaja niat murni kita untuk menyatukan rakyat tidak kesampaian.

Malah, turut menyebabkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat semakin menebal. Pada saya secara peribadi, keadaan ini amat menyedihkan. Namun saya masih percaya, usaha dan perjuangan menyatukan orang Melayu mesti diteruskan.

Dan kepada sahabat- sahabat yang bukan Melayu, usahlah gusar dan bimbang. Ini kerana, orang Melayu tidak akan sesekali bersikap cauvinis, apatah lagi mengorbankan keharmonian antara kaum yang telah sekian lama terbina selama ini.

Kebanyakan orang Melayu seperti saya juga, percaya bahawa perpaduan antara setiap kaumlah yang merupakan asas kejayaan, keamanan dan kestabilan tanah air tercinta ini.

Sebab itu, saya pernah menyebut beberapa kali sebelum ini. Misalnya pada 8 Julai, "Saya mengingatkan, dalam kita menyatakan pendirian tentang perpaduan umat Melayu dan Islam, jangan kita takbur dan sombong. Kerana ada pihak yang sedang memerhati. Negara kita ini rakyatnya berbilang bangsa dan agama. Jangan sesekali pinggirkan sentimen ini.”

Pada 15 Ogos, saya juga menyebut, “Mengukuhkan perpaduan dan kaharmonian kaum amat penting buat masa ini. Saya tidak berniat menyalahkan sesiapa. Saya menulis sebagai rakyat Malaysia. Tetapi, terdapat banyak kesilapan telah dilakukan oleh sesetengah pihak di luar sana.”

Rakyat jadi mangsa

Saya menyebut kenyataan-kenyataan itu, kerana saya tidak mahu Malaysia terus terperangkap dengan persekitaran yang penuh toksik.

Lihat sahajalah sejak setahun dua ini, betapa banyaknya pihak yang tanpa segan silu menyampaikan ucapan dan menyebarkan berita palsu yang amat jelas sengaja mahu menyalakan api perkauman.

Sehingga menyebabkan hubungan antara setiap kaum di negara ini, semakin renggang dan terpisah. Saya percaya, dalam masalah ini rakyatlah mangsanya. Sebab itu, setiap pemimpin kerajaan dan pembangkang mesti bertanggungjawab serta mesti berani mengakui kesilapan dan memperbaiki kelemahan.

Ya, ia bukan tugas mudah, namun kita tiada pilihan. Jika kita benar-benar sayangkan rakyat, maka kita perlu berusaha sedaya upaya dengan ikhlas dan jujur untuk mengubati hati mereka yang telah terluka, akibat tindak tinduk sesetengah pihak.

Pada masa yang sama, pihak tertentu juga mesti akui, bahawa selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), rakyat cukup terseksa akibat keadaan ekonomi negara yang amat membimbangkan.

Harga sawit merudum, peluang pekerjaan terhad, malah kuasa membeli rakyat langsung tidak meningkat. Begitu juga dengan soal keselamatan negara. Ancaman boleh hadir pada bila-bila masa.

Sekiranya kita tidak bersedia, rakyat negara ini akan terdedah kepada risiko keselamatan yang cukup besar. Bayangkanlah, dengan ancaman keselamatan, masalah ketegangan kaum, masalah ekonomi, masalah politik.

Jika kesemua masalah ini dianggap biasa dan tidak diberi perhatian serius, maka kita sedang meletakkan negara berada dalam keadaan yang cukup bahaya.

Sebab itu, siapa pun kita, kita mesti sedar bahawa kita sudah tiada banyak masa. Kita mesti berani untuk bertindak sekarang dan melakukan yang terbaik dengan kapasiti yang kita ada.

Kepada para pemimpin, memang ada kalanya kita terpaksa membuat keputusan yang tidak popular di mata rakyat. Tetapi selagi ia baik untuk menyatukan rakyat dan memajukan negara ini, kita mesti lakukannya dengan mengenepikan segala perbezaan dan emosi.

Kita perlu ingat, satu hari nanti negara ini perlu diwariskan kepada anak dan cucu cicit kita. Saya tidak sanggup untuk mewariskan kepada mereka negara yang telah hancur dan sudah tiada nilai yang berhak dibanggakan.

Sebaliknya, saya mengimpikan mereka berterima kasih kepada kita semua, kerana mewariskan sebuah negara yang cerah masa depannya, maju pembangunannya serta bersatupadu rakyatnya.

Saya yakin, bukan saya seorang tetapi setiap orang baik di negara ini turut berkongsi impian dan harapan yang sama.

Justeru, usaha untuk menyatukan rakyat ini mesti diteruskan secara konsisten, ikhlas dan bersungguh- sungguh. Orang-orang Melayu yang sedar sudah pun memulakan langkah mereka. Jadi, saya amat berharap langkah ini bukan sahaja diterima baik, malah turut diikuti oleh semua orang tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan. Ingatlah wahai seluruh rakyat Malaysia - #MalaysiaDeservesBetter!


HISHAMMUDDIN HUSSEIN merupakan ahli parlimen Sembrong.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS