Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bank Dunia sambut baik penekanan selesai kuasa monopoli
Diterbitkan:  Oct 11, 2019 10:37 PM
Dikemaskini: 2:37 PM

Belanjawan 2020 merupakan perbelanjaan berhemah yang seimbang antara memenuhi keperluan untuk mengekalkan kemampanan fiskal dan pada masa yang sama memenuhi realiti persekitaran ekonomi yang perlahan, menurut Kumpulan Bank Dunia.

“Cadangan merombak kerangka insentif pelaburan Malaysia yang menumpukan kepada kewujudan pekerjaan dan rantaian Perusahaan Kecil dan Sederhana, selain meningkatkan pemantauan dan penilaian merupakan langkah penting bagi hala tuju yang tepat,” kata Ketua Ekonomi Dr Richard Record dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata belanjawan itu memberi tumpuan kepada kesalinghubungan dan logistik, selain pembaharuan struktur untuk menambah baik kemudahan perdagangan dan memudahkan aliran pelaburan baharu dalam konteks ketegangan perdagangan semasa yang dijangka menghasilkan pulangan positif dalam persekitaran perdagangan yang tidak menentu.

“Kami turut menyambut baik penekanan dalam menyelesaikan kuasa monopoli dan mengambil maklum kesan positif ke atas langkah yang sudah diambil untuk meningkatkan persaingan dalam ruang kesalinghubungan jalur lebar dan mengalu-alukan pengumuman bagi meningkatkan persaingan dalam sektor tenaga,” katanya.

Beliau berkata Bank Dunia juga berharap untuk melihat momentum dalam aspek meningkatkan perlindungan undang-undang kepada ibu bapa termasuk meneliti semula Akta Kerja dan undang-undang buruh yang lain.

“Cadangan menambah cuti bersalin kepada 90 hari berbanding 60 hari mulai 2021 juga merupakan langkah yang perlu disambut baik untuk mendekatkan Malaysia kepada norma undang-undang antarabangsa,” katanya.

Mengenai subsidi bahan api, beliau berkata pembaharuan ke atas kerangka subsidi minyak merupakan hala tuju tepat dari segi memberi perhatian kepada kumpulan berpendapatan rendah dan beralih kepada pemberian tunai menerusi kerangka Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Bagaimanapun masih terdapat ruang untuk memberi lebih tumpuan kepada keperluan mobiliti pihak kurang berkemampuan termasuk yang tidak mempunyai motosikal,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata langkah pelanjutan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada perkhidmatan digital yang diimport juga dilihat sebagai suatu langkah positif untuk kemajuan di masa hadapan.

Bagaimanapun, usaha lebih giat perlu dilaksanakan untuk merangsang pendapatan sektor awam yang terus merosot dari segi perbandingan ekonomi.

“Ini bermakna, bukan sahaja kemajuan yang lebih baik dari segi kerangka cukai pendapatan individu, malah liputan SST yang lebih baik di samping menghapuskan pengecualian terhadap barangan tidak perlu,” kata Record.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS