Kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar yang akan memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pemandu.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata bermula Januari 2020, PSP bersasar yang merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan itu, akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan.
“Pertama ialah bagi penerima BSH (B40) yang layak, subsidi petrol yang diberikan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan, untuk pemilik motosikal.
“Subsidi ini akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan. Pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata kategori kedua iaitu bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.
Katanya, Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020.
“Apabila skim subsidi bahan api ini dilaksanakan, harga runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara beransur-ansur dan ini akan mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan api bersubsidi rentas sempadan, yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit di pihak kerajaan.
“Subsidi layak diberikan sekiranya harga pasaran RON95 yang ditentukan oleh Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) melebihi RM2.08 seliter dan tiada subsidi akan diberikan sekiranya harga berada di bawah RM2.08 seliter,” katanya.
Lim turut menegaskan bahawa kenderaan mewah tidak layak menikmati subsidi tersebut.
Katanya, kenderaan yang layak untuk subsidi itu adalah kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.
“Setiap rakyat yang memiliki tidak melebihi dua kereta dan dua motosikal yang layak, akan berhak menerima PSP untuk satu kenderaan sahaja,” katanya.
Tambahnya, pemandu kenderaan di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati siling harga petrol bersubsidi pada RM2.08 untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.
“Sekiranya kerajaan Sabah dan Sarawak ingin menyertai PSP ini, maka kerajaan bersedia menerima permintaan mereka,” katanya.
- Bernama