Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cubaan seludup ular, cicak eksotik dari M'sia dipatahkan

Pegawai kastam India menghantar semula ular dan cicak eksotik yang dirampas daripada dua pesawat penumpang, yang tiba dari Kuala Lumpur, ke Malaysia.

Unit Perisikan Udara Kastam pada Khamis berkata mereka berjaya mematahkan percubaan untuk menyeludup tujuh ekor haiwan terbabit yang disembunyikan dalam bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai.

Sepasukan doktor veterinar memeriksa haiwan itu dan mendapati ia berada dalam keadaan sihat.

Para pegawai kuarantin haiwan lapangan terbang itu mengesyorkan agar spesies hidupan liar tersebut dihantar "pulang ke negara asal" kerana penumpang tidak dibenarkan mengimportnya ke India.

Haiwan yang dirampas ialah seekor ular sawa pokok hijau, seekor ular sawa batik dan lima ekor cicak daripada spesies terancam.

Penumpang terbabit memberitahu pegawai kastam bahawa mereka sepatutnya menyerahkan beg yang mengandungi hidupan liar eksotik itu kepada seorang individu tidak dikenali di luar lapangan terbang Chennai.

"Kedua-dua penumpang telah ditahan. Reptilia yang dirampas, memandangkan ia daripada jenis eksotik, akan dihantar pulang ke Kuala Lumpur," menurut kenyataan jabatan kastam India.

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS