Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes barang kemas Rosmah: K'jaan fail rayuan terhadap lantikan pakar
Diterbitkan:  Oct 11, 2019 6:03 PM
Dikemaskini: 10:03 AM

Kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Rosmah Mansor melantik seorang pakar barang kemas bebas bagi mengenal pasti dan mengesahkan barang kemas yang disita polis tahun lepas.

Kerajaan yang diwakili Peguam Persekutuan Ashraf Hamid, merayu terhadap keseluruhan perintah mahkamah yang membenarkan pakar itu memeriksa barang kemas berkenaan yang kini di dalam simpanan Bank Negara Malaysia (BNM).

Peguam Mohamed Reza Rahim yang mewakili Rosmah, isteri bekas perdana menteri, memberitahu pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar hari ini di hadapan Hakim Wong Chee Lin, anak guamnya akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan pada 21 hingga 24 Okt ini sehingga keputusan rayuan kerajaan itu.

"Berikutan rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan, kami menghadapi masalah untuk menyoal balas saksi plaintif (Global RoyaltyTrading SAL) kerana kami tidak tahu berapa banyak yang ada dan berapa yang tiada," katanya yang menambah bahawa pakar berkenaan dari India.

Mohamed Reza berkata mahkamah menetapkan 16 Oktober untuk mendengar penangguhan permohonan Rosmah itu.

Sementara itu, Ashraf berkata rayuan kerajaan itu difailkan pada Rabu.

Peguam David Gurupatham, yang mewakili syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan itu berkata anak guamnya telah mendepositkan RM75,000 ke mahkamah sebagaimana perintah mahkamah bagi jaminan kos dalam saman terhadap Rosmah.

"Kami bersedia untuk perbicaraan dan saksi plaintif telah dipanggil," katanya.

Global Royalty dalam saman yang difailkan pada 26 Jun tahun lepas mendakwa pada 10 Februari 2018, syarikat telah menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, masing-masing bernilai hampir AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3.8 juta) kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu mendakwa ketika serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma serta syarat dalam Memorandum No 926 bagi barang kemas berkenaan.

Syarikat itu mendakwa melalui surat bertarikh 22 Mei 2018, Rosmah mengesahkan dan mengakui menerima barang kemas itu tetapi menyatakan ia tidak lagi berada dalam milikannya kerana disita dan kini berada dalam jagaan pihak berkuasa Malaysia.

Sehubungan itu, Global Royalty memohon perintah perisytiharan mahkamah bahawa syarikat itu adalah pemilik sah ke atas barang kemas tersebut dan turut memohon pemilikan barangan kemas itu tidak dipindahkan kepada defendan.

Syarikat itu juga memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang dirampas dan supaya barangan terbabit dipulangkan atau Rosmah perlu membayar harga barang kemas itu yang berjumlah AS$14.79 juta (RM59.83 juta).

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS