Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Perak tuntut IPT jelaskan tindakan jemput Astora Jabat

Tindakan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Perak menjemput penulis kontroversi, Astora Jabat, menyampaikan ucapan dalam sebuah program baru-baru ini berlaku di luar pengetahuan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi, berkata Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) serta Jabatan Mufti Perak juga tidak dimaklumkan pihak pengurusan IPT mengenai jemputan itu.

"Saya mendapat tahu mengenai perkara itu selepas isu itu tular di media sosial, dan saya ada bertanya kepada persatuan akademik IPT tersebut.

"Ternyata mereka pun tidak tahu-menahu mengenai jemputan Astora ke IPT berkenaan.

"Saya mahu timbalan naib canselor IPT tersebut bertanggungjawab memberi penjelasan berhubung isu tersebut," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam peringkat Perak - yang disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah - di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di Ipoh hari ini.

Mengulas lanjut, Asmuni berkata pihaknya akan menemui pengurusan IPT terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu tersebut.

"Kita sudah menyatakan sebarang ceramah agama mestilah mereka yang ada tauliah. Kalau tidak ada tauliah, mestilah ada kebenaran dan permohonan yang diluluskan (pihak berkaitan) barulah seseorang tu boleh sampaikan sesuatu ceramah atau ucapan.

"Saya minta semua pihak termasuk institusi pendidikan supaya menghormati peraturan dan ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa fatwa supaya ia dilihat tidak bercelaru," katanya.

Semalam, Mufti Perak Dr Harussani Zakaria dalam satu kenyataan menyifatkan jemputan Astora itu satu tindakan tidak teliti dan menunjukkan sikap tidak menghormati institusi fatwa yang mengeluarkan keputusan terhadap penulisan individu itu berkenaan azab kubur.

Menerusi warta kerajaan bertarikh 29 Julai 2004, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang bersidang kali ke 161 pada 17 Dis 2003 bersetuju bahawa kepercayaan menolak kepercayaan azab kubur setelah wujud keterangan dari al-Quran dan sunah serta ijmak ulama terkeluar daripada ajaran Islam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS