Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM5b GDV untuk pembangunan bersepadu stesen kereta api

Kementerian Pengangkutan memperuntukkan nilai pembangunan kasar (GDV) sehingga RM5 bilion bagi melaksanakan projek Pembangunan Bersepadu Stesen Keret Api Ipoh yang dirasmikan semalam.

Menterinya, Anthony Loke, berkata projek pembangunan yang akan dilakukan secara berfasa itu mengambil masa 10 hingga 15 tahun untuk direalisasikan sepenuhnya.

Beliau berkata pelaksanaan pembangunan bersepadu yang dimeterai menerusi memorandum perjanjian persefahaman antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) itu akan menjadikan Ipoh sebagai hub pengangkutan selain pembangunan bercampur yang akan dibangunkan di kawasan stesen kereta api.

“Selain pengangkutan, ia akan melibatkan pembangunan yang berunsurkan komersil dan perumahan terutamanya perumahan mampu milik.

“Tiga bulan selepas memeterai perjanjian ini, kita telah dapat merasmikan projek ini pada hari ini. Sudah semestinya kita mahu ia dipercepatkan,” katanya selepas hadir majlis pelancaran perkhidmatan Tren Elektrik 2 (ETS2) dan pembangunan bersepadu itu di Stesen Kereta Api Ipoh semalam.

Mengulas lanjut, Loke berkata bagi merealisasikan pembangunan bersepadu itu, ia memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk kelulusan secara terancang seterusnya memastikan projek tersebut dibangunkan dengan segera.

“Apa yang penting kita mahu stesen ini dibangunkan dan menjadi pusat tumpuan orang ramai,” katanya.

Tertangguh 15 tahun

Ditanya sekiranya pelan pembangunan itu akan diperkembangkan ke negeri lain, Loke berkata kesemua laluan Keretapi Tanah Melayu (KTM) itu berpotensi.

“Kita akan lihat kerana semuanya berpotensi, dari Johor Bahru sehingga ke Perlis. Di Pantai Timur pula melibatkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),”katanya.

Terdahulu, Loke dalam ucapannya berkata pelan pembangunan itu melibatkan kawasan seluas 27.5 hektar bagi mewujudkan sebuah daerah pembangunan berorientasikan transit yang terletak di sekitar stesen dan jajaran kereta api yang dikenal pasti bagi.

Sementara itu, Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dalam ucapannya berkata perjanjian di antara MB Inc dan Kementerian Pengangkutan menerusi RAC amat bermakna kepada Perak kerana merintis jalan, membuka kunci yang amat penting dalam merealisasikan potensi besar Stesen Kereta Api Ipoh sebagai hub pembangunan bercampur bernilai tinggi, yang tertangguh selama lebih 15 tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa unit Rumah Perakku bakal dibangunkan kawasan sekitar stesen selain pangsapuri kos sederhana dan mewah bagi mewujudkan pilihan pemilikan kediaman kepada rakyat.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menzahirkan sasaran membina 50, 000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun di antara tahun 2018 hingga tahun 2023,” katanya.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan pelancaran ETS2 dan pembangunan bersepadu berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS