Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramasamy tak gentar, bidas tindakan keras ke atas LTTE
Diterbitkan:  Oct 10, 2019 6:42 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengakui bahawa dirinya mungkin ditangkap oleh polis susulan tindakan keras terhadap mereka yang didakwa mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bagaimanapun, pemimpin DAP itu tidak gentar.

Ramasamy berhujah bahawa beliau bersimpati dengan nasib etnik Tamil di Sri Lanka, sama seperti bagaimana dirinya memperjuangkan rakyat Palestin dan Rohingya.

"Saya mungkin ditahan. Tak mengapa. Bagi saya, perjuangan saya sesuatu yang mulia. Saya juga simpati terhadap Palestin dan Rohingya.

"Apabila saya bersimpati dengan orang Islam di Mindanao dan Aceh, tiada siapa yang berkata apa-apa. Tetapi ramai pula yang bising bila ia membabitkan etnik Tamil. Ini double standard,” katanya kepada Malaysiakini.

Ramasamy mengulangi bahawa beliau terlibat dalam proses damai di Sri Lanka dan turut mengambil bahagian dalam usaha yang sama di Filipina dan Colombia.

"Dalam proses damai, saya perlu melibatkan semua pihak. Kenapa mereka ini tidak faham-faham,” katanya.

Mengulas mengenai penahanan dua wakil rakyat DAP - G Saminathan dan P Gunasekaran - beliau berkata ini kerana mereka mungkin pernah menghadiri upacara peringatan untuk ratusan ribu etnik Tamil yang terbunuh dalam perang saudara negara itu.

"LTTE terhapus selepas perang. Ia adalah organisasi yang tidak lagi berfungsi. Hanya kerana ada yang memberi penghormatan kepada orang awam yang terbunuh, ini tidak bermakna mereka adalah penyokong LTTE,” katanya.

"Mereka ini orang Tamil yang menyokong saudara-mara di Sri Lanka berhubung pencabulan hak asasi manusia. Ini bukan menyokong perjuangan bersenjata.

"Malah, saya juga kasihan terhadap nasib rakyat Palestin dan Hamas. Tetapi Hamas dianggap organisasi pengganas di Eropah dan Amerika Utara.

"Ada beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang mempunyai hubungan rapat dengan Hamas, jadi berdasarkan sudut pandangan orang Eropah dan Amerika Utara, bolehkah kita menganggap mereka sebagai mempunyai kaitan dengan organisasi pengganas?" soalnya.

Mengambil maklum tentang janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan undang-undang kuku besi di negara ini, Ramasamy berkata penangkapan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) adalah sesuatu yang memalukan.

"Kerajaan dan polis tidak harus membuang masa dengan kumpulan Islam sayap kanan yang cuba mengalihkan perhatian. Ahli politik PH ditangkap tetapi orang seperti (pendakwah Islam Dr) Zakir Naik diberi layanan VIP.

"Adakah menjadi satu jenayah untuk bersimpati terhadap etnik Tamil Sri Lanka, Palestin atau Rohingya?" soalnya.

Sebelum ini, puluhan laporan polis dibuat terhadap Ramasamy, setelah gambarnya dan Bagan Dalam DAP, Satees Muniandy memberi penghormatan kepada senapang Kalashnikov tersebar .

Bagaimanapun, Ramasamy berkata kedua-dua mereka menghadiri majlis penghormatan kepada mangsa pembunuhan beramai-ramai di Sri Lanka.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS