Senarai penuh kesemua mereka yang dikenakan tindakan kompaun oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendapatkan kembali dana 1MDB masih belum muktamad, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.
Menurut Latheefa, SPRM mengambil tindakan secara berperingkat dan mengeluarkan kompaun kepada pihak yang menerima jumlah RM500,000 ke atas terlebih dahulu.
Beliau berkata demikian bagi merujuk dakwaan bahawa SPRM menggugurkan nama anggota parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin daripada senarai 80 individu dan entiti yang dikompaun SPRM.
"Senarai yang dikemukakan baru-baru ini adalah bagi individu-individu yang menerima jumlah RM500,000 dan ke atas.
"Pendekatan SPRM adalah untuk memberi prioriti kepada jumlah-jumlah yang lebih besar.
"Kriterianya adalah jumlah wang terlibat dan bukan perkara lain," kata Latheefa dalam kenyataan hari ini.
Menurut Latheefa, SPRM akan mengambil tindakan secara teratur dan akan terus mengambil langkah mendapatkan kembali wang 1MDB secara berperingkat tanpa memihak kepada sesiapa.
Isnin lalu, Latheefa mengumumkan jumlah notis kompaun bernilai RM420 juta itu perlu dijelaskan dalam tempoh dua minggu dari sekarang.
Jelasnya, tindakan itu disiasat mengikut Seksyen 92 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Bagaimanapun, bekas anggota Parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad dilapor mempersoalkan mengapa Mas Ermieyati tiada dalam senarai berkenaan.
Shahrir berkata sebelum Mas Ermieyati menyertai Bersatu, namanya masih tersenarai sebagai antara pemimpin Umno yang menerima wang 1MDB.
Namun kata Shahrir, Latheefa pada Isnin lalu hanya mengumumkan namanya dan Anggota Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berada dalam senarai itu.