Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Semalam, Syarikat Utusan Malaysia akhirnya mengumumkan bahawa akhbar berusia 80 tahun tersebut akan berhenti operasi. Sejak penghujung bulan Ogos yang lalu, sudah ada banyak khabar angin tentang kegawatan yang dihadapi oleh Utusan Malaysia, malah dikatakan akan ditutup ketika itu juga.

Ini sedikit catatan saya mengimbas kembali sejarah surat khabar yang cukup sentimental buat masyarakat kita. Semoga ia memberi pedoman dan lebih penting lagi, inspirasi, kepada generasi hari ini untuk menghayati perjuangan dunia persuratkhabaran di negara kita.

Utusan diasas oleh rakyat untuk rakyat

Utusan Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Utusan Melayu merupakan akhbar Bahasa Melayu tertua di negara ini dan sekali gus di dunia. Mengimbas sejarahnya yang panjang sejak naskah pertama Utusan Melayu diterbitkan pada 29 Mei 1939, akhbar ini bukan sahaja menjadi saksi dan perakam tawarikh negara ini, malah ia begitu terikat dengan roda pedati nasib bangsa Melayu dan negara Malaysia.

Mulanya bermodalkan wang sumbangan orang ramai melalui penjualan saham di kampung-kampung, dan mukadimahnya berpaut pada Ikrar 1939 yang berbunyi, “Dengan sendi yang tiga itulah (alif ba ta - yang mewakili agama, bangsa, tanah air) akhbar Utusan Melayu itu berdiri dan atas itulah jua akhbar Utusan Melayu hidupnya dan menyabung nyawa”.

Utusan pada awalnya wadah Melayu progresif

Utusan Melayu ketika itu bertujuan mengangkat umat Melayu ke dunia ilmu yang progresif melalui pembacaan berita dan rencana. Tokoh-tokoh awal Utusan Melayu seperti Pak Sako (Ishak Haji Mohamad) dan A Samad Ismail merupakan pejuang kemerdekaan tanah air jauh sebelum Umno ditubuhkan. Mereka bergiat melalui gerakan politik Melayu progresif seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Gerakan Angkatan Muda (Geram) dan Pusat Tenaga Ra’ayat (PUTERA).

Pada tahun 1947, Utusan Melayu menyiarkan secara meluas kempen hartal rakyat menentang Perlembagaan Persekutuan tajaan British yang dipersetujui Umno dan sebagai gantinya, tokoh-tokoh akhbar tersebut bersama pemimpin pelbagai kaum yang lain telah mengemukakan Perlembagaan Rakyat "yang disusun oleh rakyat jelata negeri ini".

Malah, pada 4 Mei 1956, seorang pejuang pendidikan vernakular, Cikgu Lim Lian Geok, telah dijemput oleh Utusan Melayu sendiri untuk menulis perutusan dalam edisi khas Hari Raya Aidilfitri akhbar tersebut.

Utusan jatuh ke tangan Umno

Walaupun pemimpin Umno pada awalnya menghormati Utusan Melayu sebagai lidah Melayu yang bebas malah mengiktiraf akhbar itu sebagai pemangkin kepada penubuhan Umno itu sendiri, selepas tahun 1957 pendirian Umno terhadap Utusan Melayu berubah. Malah bekas menteri kabinet, Aziz Ishak dalam memoir beliau mengeluh bahawa selepas merdeka, kerajaan Umno mengekang kebebasan media dan tidak lagi sanggup mendengar kritikan Utusan Melayu.

Menyedari peri pentingnya Utusan Melayu sebagai wadah penyebaran maklumat dan idea yang mampu mempengaruhi pemikiran massa Melayu, Umno membuat keputusan untuk mengambil alih pemilikan akhbar tersebut.

Akhirnya pada tahun 1961, penguasaan Umno terhadap Utusan Melayu menjadi lengkap. Pada bulan April 1961, ketua penerangan Umno yang juga lantikan parti itu dalam pengurusan akhbar Utusan Melayu, Ibrahim Fikri, mengarahkan Said Zahari, Pengarang Utusan Melayu ketika itu, untuk menerima memo kerajaan yang mengandungi Dasar Empat Perkara iaitu:

  • menyokong penuh parti pemerintah,

  • mengehadkan liputan kepada parti-parti lain,

  • memperbanyakkan liputan untuk menteri-menteri kerajaan,

  • dan menyokong tindakan kerajaan serta jika ada keputusan yang buruk, maka perlu mengkritik secara membina.

Pak Said memanggil empat perkara tersebut sebagai “syarat-syarat penyerahan diri” yang mematikan akhbar kebangsaan Melayu, lantas yang hidup hanyalah “Utusan Melayu celup”.

Di sini bermulalah mogok 90 hari oleh warga Utusan Melayu yang diketuai Pak Said untuk mempertahankan kebebasan surat khabar Melayu itu daripada dikongkong pemerintah.

Amat malangnya, kerajaan Umno ketika itu akhirnya berjaya mematahkan muafakat waja staf Utusan Melayu lalu Pak Said direhatkan dari jawatan.

Tokoh wartawan negara, dan bekas ketua pengarang Utusan Melayu, Johan Jaafar menggambarkan 1961 itu sebagai "titik tolak penting dunia kewartawanan tempatan ...(kerana) Dengan pengambilalihan Utusan Melayu oleh Umno, berakhirlah secara rasmi kebebasan media sebenar di negara ini."

Daripada lidah rakyat menjadi lidah parti

Benarlah amaran tokoh-tokoh tersebut apabila di bawah kawalan Umno, Utusan bukan sahaja menjadi lidah propaganda parti itu malah terlalu taksub membela parti sehingga sanggup menyiarkan berita palsu dan fitnah. Ini sekali gus menjadikan akhbar tersebut tidak menarik dan tidak diyakini pembaca.

Sudah berkali-kali Utusan diheret ke Mahkamah kerana menyiarkan fitnah terhadap para pemimpin parti lawan Umno.

Pemimpin-pemimpin DAP kerap menjadi mangsa fitnah akhbar tersebut. Pada Disember 2011, Utusan Malaysia diarah oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM200,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Saudara Lim Guan Eng atas artikel yang berunsur fitnah ke atas beliau. Pada Mac 2015, Mahkamah Tinggi sekali lagi mengarahkan Utusan Malaysia untuk membayar RM200,000 kepada Lim Guan Eng atas fitnah dalam artikel yang berbeza.

Pada November 2018, Utusan diarahkan buat kali ketiga untuk membayar RM50,000 termasuk kos kepada Lim sebagai ganti rugi saman fitnah.

Saya sendiri pernah menjadi mangsa fitnah Utusan Malaysia. Pada Julai 2018, Utusan Malaysia telah memutar belit kenyataan saya dan sekali gus cuba melagakan Menteri Belia dan Sukan, Saudara Syed Saddiq dan saya sebagai timbalan beliau ketika belum cukup sebulan kami menjawat jawatan tersebut.

Maka tidak hairanlah barah yang tumbuh pada tahun 1961 kini meragut nyawa akhbar bersejarah ini. Edaran harian saban tahun semakin merudum, syarikat Utusan Malaysia mengalami kerugian beratus juta ringgit.

Era subur buat kebebasan media

Tragisnya pada 9 Oktober 2019, di hari kerajaan Pakatan Harapan memansuhkan Akta Berita Tidak Benar 2018 yang digubal oleh kerajaan BN dahulu, Utusan Melayu telah menghentikan operasinya.

Sebenarnya, Malaysia kini berada di era yang subur buat kegiatan media dan kewartawanan. Dahulu dikenali sebagai negara yang mengongkong kebebasan akhbar, kini kita juara kebebasan media di rantau ini berdasarkan Indeks Kebebasan Media 2019 terbitan “Reporters Without Borders”.

Di kala berita tentang penghentian operasi Utusan Malaysia, ada juga desas-desus yang membawa harapan: bahawa keadaan ini hanya buat sementara sahaja dan tidak lama lagi, akhbar tersebut akan beroperasi semula.

Tidak kiralah sama ada Utusan Malaysia yang bakal hidup semula, ataupun media pelbagai wadah yang lain, saya berharap ruang demokrasi baru ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mengembalikan kewibawaan yang terserlah di kalangan tokoh-tokoh awal kewartawanan negara, seperti para pengasas Utusan Melayu 80 tahun dahulu.

Media perlu menjadi estet keempat Malaysia Baharu, sebagai cabang yang membina minda dan hati nurani masyarakat bagi membangunkan bangsa Malaysia yang lebih hebat dan berjaya.

Selamat tinggal (buat sementara?), Utusan Malaysia.

Biar catatan Tongkat Warrant di bawah mengenang kehebatan Utusan Melayu dan menginspirasikan kemunculan semula pewaris obor Ikrar 1939, kali ini untuk membawa gagasan Malaysia yang merdeka, majmuk dan makmur:

Utusan Melayu Ketika tanah air menjadi bisu
Engkaulah penyambung lidah bangsamu
Orang-orang yang takutkan kata merdeka
Engkau jeritkannya selantang suara
Bila bangsa ini ternoda
Engkaulah si berani bersuara
Rakyat mendengar suaramu membela
Kerana engkau sentiasa bersama mereka
Para petani nelayan dan pekerja
Utusan Melayu
Wajah dan lenggangmu boleh berubah
Suara dan nadamu berkocak gundah
Namun jiwamu tetap tidak mungkir
Untuk bangsa agama dan tanah air

- Usman Awang, 1989


STEVEN SIM ialah timbalan menteri belia dan sukan merangkap ahli parlimen Bukit Mertajam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS