Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan menyifatkan nasib malang yang menimpa Utusan Melayu (M) Berhad hari ini adalah kesan daripada kegagalan menghalang akhbar bahasa Melayu tertua negara itu dari dikuasai Umno, sekitar 1962.
Malah, pengerusinya, Mohd Taufek Razak berkata kebergantungan akhbar itu kepada parti politik juga merupakan petanda buruk.
“Inilah kesan penguasaan parti politik terhadap surat khabar. Utusan Malaysia beroperasi sejak 80 tahun dulu bukan berasaskan keuntungan, tetapi berdasarkan hanya kepentingan politik semata.
“Jadi, kita tak boleh untung dan kita dulu hidup dengan ditanggung sepenuhnya oleh Umno. Jadi, apabila Umno dah tak ada, kita pun tak boleh buat apa-apa.
“Itu satu petanda buruk, sebab kita pernah menentang, kita pernah buat mogok pada tahun 1962 bagi menentang Utusan daripada dikuasai oleh Umno dan hari itu kita gagal.
“Hari ini terbukti apabila Umno sudah tidak berkuasa, inilah yang terpaksa kita hadapi,” katanya pada sidang media di pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Utusan Malaysia dan Kosmo! hari ini terpaksa menghentikan operasinya susulan masalah kewangan yang dihadapi syarikat akhbar itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh satu memo dalaman bertarikh 9 Oktober 2019 (hari ini) yang dilihat Malaysiakini.
Menurut memo itu, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata syarikat itu tidak lagi solven (mampu membayar hutang) untuk meneruskan perniagaan, walaupun telah melaksanakan beberapa langkah untuk menyelamatkannya.
Mengulas situasi semasa, Mohd Taufek berkata 800 kakitangan Utusan kini keliru dengan pengumuman syarikat akhbar tersebut.
Menurut Mohd Taufek, ini kerana pihak pengurusan langsung tidak memberikan sebarang petunjuk jelas mengenai masa depan akhbarnya.
Mohd Taufek berkata pengerusi eksekutif Abd Aziz Sheikh Fadzir sendiri enggan berbincang dengan mereka sejak kembali menerajui Utusan pada Februari lepas.
“Apa yang dilakukan Utusan hari ini langsung tak berperikemanusian. Notis yang diberikan singkat. Pengurusan atasan boleh saja atur pertemuan awal tetapi mereka pilih untuk layan kami dengan tidak profesional.
“Dalam taklimat hari ini, tiada seorang pun pihak pengurusan atas datang. Pengurus sumber manusia pun tak ada, pengurus kewangan pun tak ada. Eksekutif tak ada.
“Kami hanya diberi taklimat oleh ketua jabatan yang tidak boleh beri jawapan kukuh tentang masa depan. Patutkah kami dilayan macam ini?” soal Mohd Taufek.