Putrajaya telah menjalankan audit terhadap 75 pemegang lesen import (AP) yang diluluskan dan akan mendedahkan hasil audit, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.
"Sejak Mei 2018, kami telah mengaudit 50 AP di Kuala Lumpur dan Selangor, 10 AP di Sabah dan Sarawak dan 10 AP di Johor serta lima di Pulau Pinang," kata Ong kepada Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab.
Ong berkata audit lawatan di tempat operasi dan audit pematuhan telah dijalankan antara September 2018 dan September 2019.
"Kementerian akan terus menjalankan audit pematuhan kepada semua pemegang AP untuk menilai keberkesanan AP terbuka," katanya.
Ong berkata kerajaan berjanji untuk membetulkan kelemahan dalam sistem AP sebelum ini.
"Kerajaan memulakan amalan audit sejak 2009 dan sembilan syarikat disenarai hitam kerana menyalahgunakan permit yang diluluskan," katanya.
Ong berkata kementerian merancang untuk mendedahkan hasil audit terhadap pemegang AP sebaik sahaja proses audit selesai.
Audit itu adalah untuk memastikan pemegang AP menjalankan perniagaan sendiri tanpa melibatkan syarikat perantara, katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab Pang Hok Liong (PH-Labis) yang bertanya sama ada audit forensik adalah wajib terhadap penerima AP untuk memastikan tiada unsur ketirisan dan rasuah dalam proses pemberian dan pengedaran.
Pang juga bertanya sama ada kerajaan merancang untuk mendedahkan hasil audit itu kepada umum.
Ong berkata kementerian bercadang untuk mendedahkan maklumat itu selepas proses audit selesai.
"Daripada aspek ketelusan, kami berhasrat untuk berbuat demikian tetapi kami perlu menilai implikasi undang-undang di mana syarikat-syarikat akan menyaman kami sekiranya (kami membuat) mendedahkan hasil audit sebelum siasatan selesai.
"Bagaimanapun, apabila siasatan dan audit selesai, kami sudah tentu akan mendedahkan maklumat secara am," katanya.
Kerajaan PH memutuskan untuk mengkaji semula sistem AP terbuka, yang mereka sering persoalkan sejak zaman pemerintahan BN.
Januari tahun ini, kementerian memberi AP kepada 36 syarikat baru.