Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia mendesak kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan perhutanan dan Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) demi memastikan hutan negara dapat dilindungi selain memastikan pembangunannya yang mampan.

Presidennya Shariffa Sabrina Syed Akil berkata peruntukan sedia ada sudah lapuk dan tidak dapat menangani perkembangan semasa dalam isu kesalahan terhadap alam semula jadi.

"Pindaan terakhir hanyalah dilakukan pada 1993. Khazanah alam semula jadi di negara ini semakin pupus dan kita sebagai insan yang diamanahkan Allah sebagai penjaga alam ini bakal menerima padah sekiranya kita tidak mengambil inisiatif bagi melindungi pemberiannya. Undang-undang perlulah menegakkan keadilan kepada alam semula jadi," katanya kepada Bernama.

Shariffa Sabrina berkata di bawah undang-undang sedia ada, kuasa pihak berkuasa negeri juga sangat luas.

Maka, katanya, menjadi suatu keperluan untuk meminda dan mengimbangi kuasa pihak berkuasa negeri untuk menjaga kelestarian alam sekitar yang semakin terancam pada masa kini.

"Cadangan pindaan ini juga diharap dapat menangani dua isu utama dalam akta sedia ada iaitu hukuman dan/atau denda yang sudah lapuk dan tidak relevan buat masa sekarang bagi menghukum pesalah alam sekitar.

"Ini perlu untuk diterima bagi menangani isu pembalakan haram yang semakin menjadi-jadi. Melalui cadangan pindaan ini, kita dapat menghantar mesej moral kepada rakyat di negara ini bahawa kesalahan terhadap khazanah alam sekitar merupakan suatu jenayah yang serius dan tidak wajar dipandang mudah," katanya.

Beliau mencadangkan agar pelaku jenayah alam sekitar antara lain didenda sehingga RM10 juta dan hukuman penjara dari lima hingga 30 tahun.

'Memorandum diserah Julai lalu'

Selain itu, Shariffa Sabrina juga mencadangkan agar kerajaan pusat membayar pampasan balak kepada kerajaan negeri yang mengutip hasil negeri melalui aktiviti pembalakan.

"Sebagai contoh, jika negeri itu mengutip hasil RM100 juta setahun hasil pembalakan, maka kerajaan perlu membayar pampasan itu supaya negeri tersebut tidak lagi menjalankan aktiviti membalak," katanya.

Ini, katanya, sebagai langkah sementara sehingga pindaan akta perhutanan itu dapat dilaksanakan.

Sementara itu, katanya, memorandum bagi cadangan pindaan itu telah diserahkan kepada wakil kerajaan pada Julai lepas.

"Kita harap pada belanjawan kali ini, kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini bagi memastikan kelestarian alam sekitar negara kita," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS