Pada tahun 1946, seorang pemuda Melayu telah mengarang sebuah buku kecil yang mendidihkan darah penjajah. Antara seruan buku itu ialah untuk "menyatukan pemuda (Melayu) yang insaf dalam satu barisan", "memperkukuh perpaduan pemuda-pemuda Melayu seluruhnya", dan mengajak "perpaduan bangsa Melayu". Begitu mengugat sekali buku yang tidak sampai 30 muka surat itu sehinggalah kerajaan penjajah bukan sahaja mengharamkannya malah pemuda Melayu tersebut turut ditangkap dan dipenjarakan.
Pemuda itu namanya, Abdullah Sani bin Raja Kechil atau lebih dikenali oleh kita sebagai Ahmad Boestamam. Umurnya masa itu hanya 26 tahun - lebih kurang umur pemimpin muda negara sekarang Saudara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Buku kecilnya, Testamen Politik Angkatan Pemuda Insaf, menjadi semboyan besar perjuangan mencapai kemerdekaan jauh sebelum parti-parti politik lain.
Ketika kesatuan orang Melayu lantang dikumandangkan pada masa kini, ada hikmahnya kita memandang kepada amanat pejuang kemerdekaan ini. Generasi kita bukan istimewa dalam perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Lebih parah datuk nenek kita bermandi darah keringat - krisis yang dihadapi mereka jauh lebih genting, perpaduan yang digarapkan jauh lebih terdesak.
Tapi, apa bentuk perpaduan itu yang diseru allahyarham Ahmad Boestamam?
Pertama sekali, Ahmad Boestamam sedar sejak dari awal lagi bahawa di bumi bertuah ini, nasib rakyat pelbagai kaum di negara ini terikat bersama. Dia menulis, "kita harus mengetahui bahawa kita pemuda-pemuda Malaya sama ada Melayu, China, India atau lainnya tidaklah ada perbezaan-nya... sebab itu kita ada mempunyai tujuan yang sama iaitu menghapuskan angkara-angkara yang menghimpit kita itu..."
Justeru, keduanya, perpaduan satu kaum sahaja tidak akan membawa perjuangan ke mana-mana. Merujuk kepada penyatuan bangsa Indonesia, dia berkata, "Jika saudara-saudara kita di Indonesia telah menyedari perlunya ada perikatan pemuda-pemuda segala bangsa apalah kita pemuda-pemuda Melayu tidak sedar lagi?... Maka demikian-lah pula kita. Kita mahu berikat dan bekerja sama dengan pemuda-pemuda segala bangsa yang ada di Tanah Melayu ini..."
Batu api dan jelatang masyarakat
Ketiga, visi pejuang Melayu muda itu jauh lebih luas daripada hanya penyatuan pemuda Melayu ataupun penyatuan pemuda Malaya. Dia mempunyai wawasan global iaitu kesatuan pemuda-pemuda Asia dan sedunia agar "keamanan dan keadilan dan demorasi dapat dijamin di dunia ini".
Keempat, Ahmad Boestamam sedar bahawa faktor penyatuan bukan boleh bersandar pada warna kulit semata-mata. Ini kerana ada kalangan "pemuda-pemuda itu daripada bangsa Melayu sendiri, daripada adik abang kita sendiri" yang bersifat "reactioneer (batu api dan jelatang masyarakat)" yang berfahaman "fascist" (perkauman), yang antikemerdekaan, yang bersama perasuah dan penindas; penyatuan pemuda insaf tidak boleh bercampur dengan golongan ini.
Apa sebenarnya tujuan Ahmad Boestamam menyeru kepada penyatuan pemuda-pemuda insaf, yakni pemuda-pemuda yang mempunyai kesedaran?
Dalam buku kecilnya, Ahmad Boestamam menggariskan asas perjuangan dan tuntutan pemuda insaf.
Asas perjuangan mereka ialah politik yang merdeka, ekonomi yang adil dan keadilan sosial.
Politik yang merdeka bermaksud "demokrasi tulen, satu pemerentahan yang datangnya dari rakyat, dijalankan oleh rakyat menerusi kerajaan yang dibentuk oleh wakil-wakil rakyat, untuk faedah, kebajikan dan keselamatan rakyat".
Ekonomi yang adil ialah "susunan ekonomi teratur yang bukannya untuk faedah satu dua orang atau satu dua puak sahaja tetapi untuk faedah bersama - untuk faedah orang ramai atau rakyat jelata".
Keadilan sosial bermaksud tiada lagi "pembahagian tingkatan yang diadakan oleh manusia yang di antara satu sama lain bertentangan dalam faedah, hak kepentingan dan kewajipan-nya terhadap negara". Dalam kata lain, menghapuskan perbezaan kelas di kalangan masyarakat.
Beberapa tuntutan turut disenaraikan seperti penghapusan pengangguran, melindungi hak pekerja termasuk pekerja perempuan, hak petani, hak berpolitik yang saksama, kebebasan bersuara, pendidikan percuma, hak belajar dalam bahasa sendiri (bahasa ibunda), gaji berpatutan untuk para guru, kemudahan perubatan percuma dan sebagainya.
Jelas di sini, kebijaksanaan politik Ahmad Boestamam jauh mendepani zamannya.
Testamen Angkatan Pemuda Insaf
Jika ditelaah buku Testamen Angkatan Pemuda Insaf, Ahmad Boestamam yang banyak berbicara tentang kebangkitan Melayu, penyatuan pemuda Melayu, perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu malah kesediaan untuk "mempertahankan kehormatan diri" (dalam kata lain, "maruah") tidak pernah menggunakan kaca mata assobiyah ataupun perkauman. Malah, antara tuntutannya termasuk "menghapuskan undang-undang membeza-bezakan kulit dan lain-lain lagi". Bagi Ahmad Boestamam, nasib masyarakat majmuk terikat dengan simpul mati. Oleh itu, tidak logik kita bincang hak, maruah dan makmur satu kaum tanpa juga menjaga hak, maruah dan makmur kaum yang lain di negara ini.
Di dalam kegelapan zaman penjajah, Ahmad Boestamam berani menyeru kepada penyatuan atas dasar keyakinan pada jati diri serta penyatuan kebangsaan yang majmuk dan menyeluruh, bukan atas dasar menakut-nakutkan orang Melayu dengan jembalang rekaan. Malangnya, lebih tujuh dekad selepas buku kecil Ahmad Boestamam itu, masih ada lagi pihak yang ingin menggunakan taktik momok ini untuk menjadikan Melayu bangsa yang tidak ada keyakinan diri dan sentiasa perlu takut kepada "orang lain".
Betul zaman sudah tidak sama, keadaan mungkin berbeza, tapi hari ini, kita perlukan semangat Ahmad Boestamam yang disebut oleh Usman Awang sebagai "putera besar tanah air". Di zaman itu, penjajah sedar akan bahayanya kesatuan rakyat pelbagai kaum. Oleh itu mereka berusaha memecah belahkan rakyat dengan retorik kaum dan agama. Penjarah moden juga khuatir jika rakyat pelbagai kaum di negara ini bersatu, maka hilanglah peluang mereka untuk kembali berkuasa dan melahap kekayaan negara.
Ayuh pemuda insaf se-Malaysia, kita bangkit bersatu menyahut seruan Ahmad Boestamam!
STEVEN SIM merupakan timbalan menteri belia dan sukan merangkap ahli parlimen Bukit Mertajam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.