Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perintah berkurung 7 daerah ESSZone dilanjut sampai 23 Okt
Diterbitkan:  Oct 7, 2019 11:28 PM
Dikemaskini: 3:28 PM

Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok akan dilanjutkan sehingga 23 Okt ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah.

Omar dalam kenyataan hari ini berkata perintah berkurung dari pukul 6.00 petang sehingga pukul 6.00 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Beliau berkata dengan berkuat kuasanya perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah, dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan, antara pukul 6.00 petang sehingga 6.00 pagi pada tarikh yang dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung ini juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan, dan mereka yang berada di daratan ESSZone,” katanya.

Omar berkata perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS