Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Sudah lama orang Melayu mencari jalan untuk bersatu. Formula BN yang ditunjangi Umno merupakan formula lapuk yang memperlihatkan banyak kekurangan. Formula berkenaan sudah tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang.

Umno ditubuhkan oleh Datuk Onn Jaafar sejak sebelum merdeka. Ketika itu, jumlah orang Melayu di semenanjung lebih 80 peratus, dan sentimen Tanah Melayu sebagai “negara Melayu mutlak” masih terlalu kuat.

Onn sendiri kemudiannya melihat akan tanda-tanda masalah yang bakal wujud kalau Umno diteruskan sebagai parti orang Melayu selepas merdeka. Melayu akan terperangkap dalam masalah perkauman sempit, selain pemimpin Melayu akan menjual bangsanya untuk kepentingan peribadi. Mereka akan melaungkan “hidup Melayu” untuk merompak.

Kerisauan Onn itu terbukti. Malaysia sejak merdeka pun terbelah tiga—Malaysia untuk orang Melayu; Malaysia untuk orang Cina, dan; Malaysia untuk orang India. Keadaan yang tidak sihat itu terbentuk sejak di bangku sekolah rendah apabila ada tiga sekolah kebangsaan untuk anak-anak Melayu, anak-anak Cina dan anak-anak India.

Alasannya walaupun mudah, iaitu mahu memelihara bahasa ibunda, tetapi sebenarnya ia tidak masuk akal. Bahasa ibunda sama ada bahasa Mandarin atau Tamil masih boleh diajar di sekolah satu aliran. Apa yang mustahak, sekolah satu aliran perlu menjadi tempat sebarang prasangka perkaum dimatikan sejak awal.

Onn Jaafar (berdiri) 

Kerajaan lama Umno-BN tidak sanggup untuk menegakkan kebenaran ini. Mereka mahu menjadikan awal persekolahan sepertimana pembahagian parti-parti mengikut kaum dalam aturan politik BN.

Sedangkan Malaysia perlu menjadi Malaysia dengan identiti yang jelas. Bahasa Melayu telah diterima sebagai bahasa kebangsaan, dan tidak ada sebab serta alasan untuk menjadikan bahasa ibunda yang lain lebih tinggi daripada kedudukan bahasa Melayu.

Sayangnya selepas terbentuknya kerajaan baru dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, pemimpin Pakatan Harapan juga terperangkap dalam corak pemikiran lapuk itu. Mereka tidak berani sama sekali untuk membetulkan perkara salah, yang berpanjangan sejak merdeka. Bahkan dalam isu bahasa kebangsaan, keadaannya lebih buruk apabila menteri sendiri tidak menghormati teras kenegaraan ini.

Kenyataan tersebut sebenarnya hanya sebagai tanda bahawa wujud elemen-elemen perkauman sempit yang diseludup masuk ke dalam pentadbiran kerajaan. Lebih menyulitkan keadaan, perjuangan cauvanis masih diteruskan oleh sesetengah parti dan pemimpin. Orang Cina mahu terus dikekalkan bersama DAP, dan orang Melayu pula mahu didominasi oleh sama ada Amanah atau Bersatu.

PKR tersepit

Di sinilah PKR tersepit. Sedangkan PKR menjadi satu-satunya parti berbilang kaum yang sejati. Kenyataan ini dapat diukur dengan melihat pembahagian anggota parti mengikut kaum adalah sejajar dengan demografi semasa Malaysia.

Konsep sepertimana PKR mungkin adalah konsep sebuah parti yang diidamkan oleh Onn lebih 70 tahun lalu—sebuah parti berbilang kaum yang dinamik, yang mana kaum majoritinya adalah kaum majoriti di Malaysia, yakni orang Melayu.

Kalau parti berbilang kaum tetapi kaum minoriti sebagai anggota paling ramai dalam parti berkenaan—sepertimana DAP atau Gerakan—maka parti itu tidak bolehlah dianggap sebagai parti berbilang kaum yang menjadi wajah sebenar Malaysia. Ia tetap parti perkauman sepertimana Umno dan PAS.

Mudah kata, DAP atau Gerakan adalah “Umno bagi orang Cina”, sementara Umno dan PAS adalah “DAP atau Gerakan bagi orang Melayu”. Keduanya perkauman.

Hidup bersama adalah realiti di negara ini yang bukan sahaja perlu dipertahankan, tetapi perlu difikirkan formula untuk menanggapi Malaysia masa depan. Tentunya orang Melayu sukar menerima DAP dengan rekod parti berkenaan yang mengabaikan orang Melayu sekian lama, selain ia bukan parti yang ditubuhkan oleh pemimpin Melayu. Bangsa Melayu hanya akan memasuki sebuah parti yang ditubuhkan oleh pemimpin bangsa sendiri. Bukan oleh orang lain.

Sesiapa pun boleh sedar bahawa Kongres Maruah Melayu (KMM) semalam secara tersirat memang antara lain menghantar mesej bahawa orang Melayu tidak mempercayai DAP, tetapi keliru untuk mencari wadah politik yang baru.

Oleh itu, sekiranya orang Melayu mahu bersatu sepertimana bisik sanubari yang terdengar dalam KMM semalam, maka tidak perlulah dicari formula bersatu ala-Umno atau ala-PAS. Kesalahan lama jangan diulang.

Sesiapa yang menjiwai hasrat Onn sebagai pendiri Umno tentu menginsafi bahawa parti masa depan bagi orang Melayu adalah PKR. Dan dalam PKR, memperjuangkan nasib Melayu itu tidak pula hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja, namun akan turut disokong oleh kaum-kaum lain—sepertimana orang Melayu PKR juga memperjuangkan nasib Cina dan India PKR.

Begitulah yang sewajarnya wujud bagi sebuah Malaysia yang sudah merdeka lebih enam dekad lamanya. Kalaulah sebahagian besar orang Melayu menyertai PKR, maka perjuangan anak nasib-nasib bangsa Melayu tidak akan dalam masa sama menakutkan bangsa atau kaum-kaum lain. Hasilnya Malaysia akan lebih bersatu, harmoni dan maju.

Hanya cabaran PKR ialah selain menyedarkan orang Melayu bahawa PKR adalah wadah politik terbaik untuk bangsa Melayu, parti ini juga perlu dengan pantas mencari pemimpin yang jujur dan ikhlas berjuang membentuk Malaysia yang jelas identitinya. Malaysia yang diwarisi dari nenek moyang yang kaya-raya.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai komuniti Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS