Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Isa tiada kuasa veto keputusan lembaga pengarah

Seorang bekas pegawai kanan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) memberitahu mahkamah, Isa Samad tidak mepunyai kuasa untuk memveto sebarang keputusan dibuat anggota lembaga pengarah syarikat tersebut.

Siti Salwani Mohd Salleh berkata, seseorang pengerusi FIC juga tidak boleh membuat keputusan sendiri.

Siti Salwani yang pernah menjadi ketua Bahagian Perundangan dan Kesetiausahaan FIC berkata demikian semasa menjawab soalan peguam bela Isa, Salehuddin Saidin, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Salehuddin: Bolehkah pengerusi membuat keputusan secara sendiri?

Siti Salwani: Tak boleh.

Salehuddin: Boleh tak pengerusi veto keputusan ahli lembaga pengarah? Tak boleh, kan?

Siti Salwani: Pengerusi boleh buat keputusan, ya.

Salehduddin: Soalan saya ikut undang-undang, boleh tak pengerusi vetokan keputusan oleh ahli lembaga pengarah?

Siti Salwani: Tak boleh.

Saksi kedua pendakwaan itu bagaimanapun tidak bersetuju dengan Salehuddin yang mencadangkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil, mempunyai kuasa lebih besar daripada pengarah syarikat itu, termasuk pengerusinya.

Siti Salwani berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi kedua pendakwaan bagi kes rasuah dan pecah amanah yang dikenakan ke atas Isa.

Untuk rekod Isa ialah bekas pengerusi FIC dan merupakan pemimpin kanan Umno yang pernah berkhidmat sebagai menteri besar Negeri Sembilan.

Perbicaraan dijalankan di depan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, manakala pasukan pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz.

Dalam keterangan pembukaannya, Afzainizam berkata pihak pendakwaan akan membuktikan bahwa Isa menerima suapan atas empat transaksi FIC untuk membeli hotel mewah di Kuching.

Isa dituduh menerima RM3,090,000 sebagai suapan daripada Ikhwan Zaidel, pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, yang memiliki Merdeka Palace Hotel & Suites.

FIC dikatakan membuat empat pembayaran kepada Gegasan Abadi, masing-masing tiga kali pada 2014 dan sekali pada 2015.

Untuk setiap bayaran, suapan itu akan dipindahkan ke pembantu Isa ketika itu, Muhammad Zahid Md Arip.

Tak ada komplen

Sebelum itu, dalam soalan tambahan Afzainizam, Siti Salwani menyatakan dia tidak tahu tentang mandat anggota Lembaga Pengarah Felda kepada Lembaga Pengarah FIC dalam membuat keputusan pelaburan melibatkan projek bernilai bawah RM100juta.

Katanya, dia hanya mengetahui mengenai perkara tersebut ketika terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2017.

Dia juga menafikan terlibat dalam pembelian terbabit kerana belum bekerja di FIC ketika itu.

Siti Salwani memaklumkan dia dipinjamkan kepada FIC mulai Mei 2014.

Ketika disoal balas Salehuddin pada sebelah petang pula, Siti Salwani bersetuju bahawa sesuatu minit mesyuarat sepatutnya mencatit setiap butiran dalam pertemuan itu, termasuklah cadangan pelaburan.

Salehuddin: Begitu juga cadangan atau nasihat, sama ada ia perlu mendapat kelulusan pihak atasan, juga perlu dicatitkan, betul?

Siti Salwani: Betul

Salehuddin: Setuju tak, sebarang nasihat berkaitan keperluan mendapat kelulusan dari Felda induk, mesti dicatit dalam minit. Setuju?

Siti Salwani: Setuju

Salehuddin: Kalau tak dicatitkan, maknanya dia tak dibangkitkan dalam mesyuarat. Betul?

Siti Salwani: Betul

Salehuddin turut merujuk minit mesyuarat ahli Lembaga Pengarah Felda yang menunjukkan bahawa agensi itu sebenarnya tahu tentang pembelian MPHS sejak 2014 berdasarkan ratifikasi bayaran pendahuluan RM100 juta oleh Felda kepada FIC.

Namun, tambah Salehuddin, pembelian MPHS itu tidak dibangkitkan dan dilaporkan oleh mana-mana pihak.

Salehuddin: Sepanjang puan bekerja dengan FIC, ada tak puan dapat apa-apa laporan aduan daripada mana-mana pihak bahawa tindakan pembelian MPHS tak mengikut undang-undang. Ada sesiapa yang komplen?

Siti Salwani: Tak ada.

Salehuddin: CEO tak komplen? Ahli lembaga pengarah? Irwan Serigar (ketua setiausaha perbendaharaan yang juga seorang daripada anggota Lembaga Pengarah FIC) ada komplen?

Siti Salwani: Tak ada.

Perbicaraan bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS