ULASAN | "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.” (ar-Ra’d : 11).
Kami berpendapat perbincangan mengenai nasib dan maruah Melayu harus berorientasikan apa yang diungkap di dalam al-Quran.
Dalam konteks keresahan bangsa Melayu dalam kalangan ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan masa kini, ternyata ia banyak berkisar kepada tuntutan supaya kerajaan melakukan sesuatu untuk menyelamatkan status Melayu yang dilihat tercabar.
Ayat al-Quran tersebut tepat untuk dijadikan formula memulihkan maruah bangsa Melayu.
Sejak bangsa Melayu dijajah oleh lima bangsa penjajah - iaitu Portugis, Siam, Belanda, Jepun dan Inggeris - selama 446 tahun, banyak nilai feudalisme membelenggu mereka.
Akibatnya parah. Dari sebuah bangsa yang asalnya rajin dalam bidang maritim dan mengusahakan bidang pertanian, ilmu kearifan lokal bangsa Melayu dibuang.
Ia kemudian diganti dengan sifat kebergantungan kepada pemerintah.
Perlu berlaku jujur
Sebab itu maruah Melayu mulai terhakis apabila hampir semua aspek kehidupan mulai dicemari dengan kebergantungan dan kemalasan.
Memang benar, politik Melayu telah dirosak oleh perpecahan. Dengan sebab keghairahan dan fanatik kepada politik kelompok, gelaja "Melayu bunuh Melayu" menjadi parah.
Sebab itu ucapan Dr Mahahir Mohamad dalam amanatnya di Kongres Maruah Melayu di Shah Adam tadi, beliau nampaknya menyentuh banyak soal sikap orang Melayu yang tidak cukup bersedia bekerja dengan berdisiplin.
Dari soal menjual tanah rizab Melayu hingga soal orang Melayu enggan bekerja dalam bidang kemahiran sehingga ramai pekerja asing mengambil tempat kerja dalam negara ini.
Memang perubahan yang sangat genting dihayati ialah kesanggupan bangsa Melayu jujur untuk mengakui bahawa jika perangai dan sikap negatif terhadap kerja tidak dikikis, maruah bangsa tidak akan dapat dipulihkan.
Harus diinsafi, yang membunuh tulisan Jawi dan bahasa Melayu adalah Melayu sendiri; yang mengadai tanah Melayu adalah Melayu; yang merasuah, membuang anak, ketagihan dadah, merempit, adalah Melayu sendiri.
Oleh itu kami bersetuju bahawa tindakan menyalahkan orang lain atas terjejasnya maruah Melayu adalah tidak tepat.
Bangsa Melayu itulah yang boleh memulih maruah oleh bangsa sendiri. Orang lain tidak mungkin mahu membela nasib dan maruah Melayu.
Kembali kepada Islam
Kami mengesa para pemimpin Melayu agar mengembleng tenaga untuk memikirkan bagaimana caranya maruah bangsa dapat dipulihkan dengan berpandukan al-Quran dengan segala pedomannya.
Tidak boleh difikirkan hanya perlembagaan negara sahaja yang boleh menjamin maruah bangsa. Orang Melayu perlu berpegang kepada sumber abadi - iaitu al-Quran - jika mahu maruah itu dilindungi.
Bangsa Melayu perlu kembali kepada asas (back to basic). Maruah bangsa bukan kerana Melayunya, tetapi kerana Islamnya.
Kami akur jeritan "Hidup Melayu" menaikkan semangat, tetapi laungan sebegitu saja akan hanya menjadi retorik dan tidak berupaya mengubah realiti.
Dr Mahathir sendiri kesal kenapa perkampungan Melayu - seperti Kampung Kerinci dan Kampung Abdullah Hukum di KL - akhirnya lenyap. Beliau mengeluh orang Melayu tidak mampu hidup di bandar.
Kami berpandangan, kesilapannya ialah pada model pembangunan yang kerajaan sendiri amalkan.
Orang Melayu di bandar terpinggir sedikit demi sedikit akibat didesak memberi laluan kepada pembangunan.
Akibatnya realiti bandar didominasi oleh bangsa lain.
Kami menggesa pemulihan maruah Melayu hanya boleh direalisasikan dengan kembali kepada Islam yang menyeluruh.
Ia perlu bermula daripada pemimpin Melayu itu sendiri. Daripada raja-raja, perdana menteri hingga ketua institusi keluarga Melayu.
MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah presiden Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.