Dalam mengatasi isu maruah Melayu yang sering dipandang hina di negara sendiri, Dr Mahathir Mohamad berkata hanya Melayu yang boleh memulihkan maruah mereka sendiri tanpa mengharapkan orang lain untuk melakukannya.
Perdana Menteri berkata kerajaan dengan sendirinya walaupun dipimpin oleh Melayu, tidak boleh memulihkan maruah Melayu sekiranya kaum itu tidak mahu berusaha untuk mengubah nasib mereka.
"Jangan minta orang lain lakukan sesuatu untuk memulihkan maruah kita. Melayu sendiri kena pulihkan maruah Melayu,” katanya ketika berucap pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.
Dr Mahathir menjelaskan kerajaan hanya mampu menyediakan peluang untuk Melayu ambil bahagian dalam pelbagai bidang di negara ini.
Bagaimanapun, usaha untuk memulihkan maruah Melayu sukar sekiranya bangsa itu sendiri tidak mahu berusaha mengambil dan menggunakan peluang yang disediakan oleh kerajaan dengan sebaiknya.
"Maruah Melayu bergantung kepada pencapaian kita sendiri. Kalau kita mampu tadbir negara dengan baik, gunakan peluang yang ada dengan baik, bekerja dengan baik, mampu keluarkan barang pengguna, tiada siapa boleh jatuhkan maruah kita," katanya.
Dr Mahathir berucap di hadapan ribuan hadirin termasuk para pemimpin parti politik Melayu, ahli akademik, badan bukan kerajaan dan apa yang disifatkannya kehadiran Melayu yang "sedar" di majlis itu.
Pada majlis itu, Dr Mahathir turut melahirkan rasa sedih kerana maruah Melayu dipandang hina atas kesalahan mereka sendiri.
Dari segi politik, Dr Mahathir berkata walaupun Melayu merupakan kumpulan penduduk terbesar di negara ini iaitu 60 peratus daripada jumlah penduduk (32 juta orang), perpecahan orang Melayu kepada kumpulan kecil menyebabkan mereka gagal memegang kuasa politik di negara sendiri.
Ini kerana mereka tidak mampu mendapat 50 peratus daripada sokongan rakyat, katanya.
Susulan perpecahan itu, katanya lagi, orang Melayu terpaksa bergadai kuasa dan bergantung kepada orang lain untuk mendapat sokongan rakyat.
Dari segi ekonomi, perdana menteri berkata kegagalan orang Melayu merebut peluang yang ada menyebabkan orang asing mengambil peluang tersebut dan memajukan diri mereka sehingga menjadi kaya di negara ini.
“Kita bergantung kepada orang lain sehingga kita diperhambakan. Mereka lebih maju dan capai kemajuan kerana peluang di negara kita tidak diisi dan kita tidak sanggup lakukan kerja tertentu sebab kerja ini dianggap sebagai hina, bahaya, berat, kotor dan sebagainya,” katanya.
'Boleh kaya hanya dengan jual lesen?'
Dr Mahathir berkata sebenarnya orang Melayu bukan tiada keupayaan untuk maju tetapi mereka sendiri tiada kemahuan untuk memperbaiki nasib mereka sendiri.
“Apa yang saya perkatakan ini mungkin tidak senang didengari kita semua, tetapi ini semuanya yang berlaku dan inilah yang akan diwarisi oleh generasi muda. Selagi kita tidak tukar cara hidup kita, selagi kita tidak sanggup kerja, hadapi cabaran semasa pekerjaan, selama itulah kita akan ketinggalan,” katanya.
Dr Mahathir yang sentiasa berusaha untuk mengubah nasib Melayu sejak beliau pertama kali menjadi perdana menteri pada 1981, turut melahirkan kekecewaan apabila bangsa Melayu masih dipandang hina dan gagal untuk merapatkan jurang pendapatan dengan kaum lain walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“Pada satu masa apabila kita wujudkan peluang, peluang dipindah, wujud AP (permit import), AP pun pun dijual, wujud kontrak, kontrak dijual…bolehkah kita jadi kaya hanya dengan kita jual lesen yang kita dapat,” katanya.
Namun, Dr Mahathir yang menggalas semula jawatan nombor satu negara sejak tahun lepas berkata kerajaan berjanji untuk menolong orang Melayu tetapi mereka mesti sanggup berusaha.
"Kesanggupan untuk berusaha adalah perkara utama dalam usaha pemulihan maruah bangsa,” tegas perdana menteri.
Menyentuh pemilikan tanah orang Melayu di ibu negara yang semakin berkurangan, Dr Mahathir merayu orang Melayu tidak menjual tanah, sebaliknya menegaskan kerajaan akan mencari jalan untuk membantu mereka dalam hal itu.
"Saya minta, saya rayu supaya jangan jual tanah, kita akan cari cara untuk pulangkan pulangan baik. Kita ada cara tolong mereka miliki tanah supaya tanah itu dijadikan modal bagi kita, dengan itu kita tidak akan dihalau keluar dari tempat kita," katanya.
Dr Mahathir berkata pemulihan maruah Melayu penting untuk masa depan generasi akan datang dan menambah kata, generasi sekarang bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan itu.
"Jadi tuan-tuan dan puan-puan, saya ucap terima kasih kerana beri peluang kepada saya meluahkan segala yang terdapat dalam hati saya pada hari ini. Saya sedar saya tidak ada masa. Apa yang dilakukan ini adalah untuk generasi akan datang walaupun kita sendiri tidak akan mendapat nikmat daripada ini,” katanya.
Kongres Maruah Melayu dianjurkan empat universiti - Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara - bagi membincang serta mencari penyelesaian masalah orang Melayu.
-Bernama