Bekas menteri Umno Salleh Said Keruak disahkan menghantar permohonan untuk menyertai PKR.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata permohonan itu dibuat secara dalam talian.
"Berdasarkan rekod, saya difahamkan parti memang ada terima permohonan keanggotaan dari beliau secara dalam talian
"Bagaimanapun, Biro Politik PKR akan membincangkan dan memberi pertimbangan kepada perkara ini dalam mesyuarat yang akan datang," katanya dalam kenyataan media ringkas hari ini.
Berdasarkan semakan keanggotaan PKR, permohonan Salleh ditandakan sebagai "lulus".
Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan bahawa Salleh telah menyertai PKR Cawangan Kota Belud tanpa pengetahuan pemimpin politik Sabah yang lain.
Salleh yang pernah menjadi menteri komunikasi dan multimedia sebelum ini dilihat merupakan antara pembelas bekas perdana menteri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.
Bagaimanapun, Salleh dan beberapa pemimpin Umno Sabah yang lain keluar parti Disember lalu.
Beberapa bekas pemimpin Umno Sabah sebelum ini sudah menyertai Bersatu. Bagaimanapun, Salleh dan bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia belum lagi mengumumkan menyertai parti lain.
Kedua-dua bekas pemimpin BN itu menubuhkan NGO bernama Organisasi Bajau Sabah Bersatu (Usbo), yang pada sambutan Hari Malaysia lalu menganjurkan program yang dihadiri Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Dalam program berkenaan, Salleh dan Pandikar memuji Anwar, namun menafikan program itu mempunyai kaitan dengan penyertaan mereka ke dalam PKR.