Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Bumiputera penerima manfaat terbesar WBK2030 - Muhyiddin

Bumiputera bakal menjadi penerima manfaat terbesar dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Beliaa yang juga pengerusi Institut Masa Depan Malaysia - yang terlibat merangka dokumen WKB2030 - berkata ini kerana golongan itulah yang paling ramai dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40), iaitu merangkumi 70 peratus.

"Maka, Bumiputera sebagai kelompok teramai dalam kumpulan B40 adalah antara golongan yang bakal menerima manfaat paling utama.

Malah, keberhasilan Bumiputera secara keseluruhannya merupakan antara intipati penting wawasan ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada masa sama, katanya lagi, golongan bukan bumiputera juga akan menerima manfaat, yang merangkumi 30 peratus lagi dalam kumpulan B40.

Katanya lagi, berbeza dengan dasar ekonomi sebelum ini yang melihat jurang ekonomi dari sudut kaum, WBK2030 melihat masalah itu dari sudut yang lebih meluas, merangkumi kelas pendapatan, wilayah dan rantaian bekalan.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Berdasarkan dokumennya, WKB2030 antara lain menumpukan pengagihan ekonomi yang "adil, saksama dan inklusif".

Misalnya, ia berhasrat merapatkan pendapatan penengah isi rumah bumiputera, Cina dan India, kepada hampir setara (nisbah 0.9:1:1).

Bagi golongan bumiputera pula, dokumen itu memperuntukkan satu bab khusus iaitu "keberhasilan bumiputera" yang antara lain menyentuh soal diskriminasi di sektor swasta, memecahkan monopoli, menggalakkan pemilikan hartanah di bandar dan pembangunan ekonomi di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

PANDUANKINI: Tentang Wawasan Kemakmuran Bersama 2030



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS