Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Selesaikan masalah kemiskinan, ubah naratif kaum dan agama

Pemimpin politik perlu mengalihkan topik mengenai kaum dan agama di negara ini dengan menumpukan isu kebajikan terhadap golongan miskin, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar berkata ahli akademik dan golongan profesional juga harus memainkan peranan dalam mengalihkan naratif yang dibina golongan 'pelampau'.

Katanya, beliau sebelum ini telah mengetuai Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus parlimen untuk membincangkan isu-isu membabitkan sosio-ekonomi.

"Tumpuan kami (beberapa) minggu lalu mengenai isu kemiskinan dan ketidaksamaan agar naratif ini kembali ke landasan daripada isu-isu kaum dan agama yang ditunggangi sikap perkauman dan pelampau agama," katanya ketika Persidangan Lawasia Constitutional and Rule Of Law di Petaling Jaya hari ini.

Ditanya seorang hadirin apa yang akan dilakukan untuk menyelesaikan masalah perkauman dan agama jika beliau menjadi perdana menteri, Anwar secara berseloroh berkata: 'Bukan jika, tapi bila' yang mengundang ketawa hadirin.

Anwar berkata apabila memegang jawatan itu beliau akan memastikan tumpuan diberikan kepada golongan miskin tanpa mengira kaum. 

Selain program kebajikan, beliau juga berharap dapat merealisasikan program dialog antara agama, dengan memberi contoh program yang telah dijalankan di antara Muslim dan penganut konfusianisme sebelum ini.

"Saya fikir bukan hanya pemimpin politik, tetapi ahli akademik dan profesional (juga) mesti mengambil peranan utama dalam memastikan naratif baru ini," katanya.

Anwar akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tetapi tarikhnya masih belum ditetapkan, menyebabkan banyak spekulasi sama ada peralihan akan berlaku atau sebaliknya.

SST perlu diteruskan

Ditanya mengenai cadangan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan mengembalikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Anwar yang juga bekas menteri kewangan berkata keadaan ekonomi pada masa ini tidak menggalakkan ke arah itu.

Walaupun GST merupakan sistem percukaian  yang lebih cekap, Anwar berkata cukai berkenaan akan membebankan golongan miskin.

"Tidak syak lagi GST dianggap lebih cekap dan sistem cukai yang telus, tidak ada persoalan.

"Tetapi sama ada negara sedia [...] dengan jumlah yang sangat besar (orang) dalam golongan berpendapatan rendah (dan) sama ada mereka dijangka boleh menerima dasar ini, itu persoalannya," katanya.

Justeru itu Anwar berkata beliau percaya SST perlu diteruskan tetapi perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

"[...] Jadi pada fikiran saya, saya fikir kita perlu teruskan dengan SST sekarang (tetapi) menambah baik dan perbaharui di mana perlu, serta buat perubahan yang perlu. Dan berikan beberapa tahun sebelum kita mula pertimbangkan perubahan lagi, "katanya.

Semalam, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji cadangan untuk melaksanakan GST "jika itu kehendak rakyat" tetapi memberi jaminan sebarang perubahan tidak akan dibuat dalam Belanjwaan 2020, yang dijadual akan dibentangkan pada 11 Okt.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan hanya akan mempertimbangkan cadangan itu jika terdapat bukti orang ramai mahu sistem cukai itu dilaksanakan semula.

Pentadbiran PH sebelum ini memansuhkan GST sebanyak enam peratus selepas berjanji untuk berbuat demikian dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Cukai itu kemudiannya digantikan dengan SST, yang mengenakan 10 peratus ke atas barangan dan enam peratus ke atas perkhidmatan.

Pada tahun 2017, kerajaan BN mengutip RM44 bilion daripada GST. 

PH menganggarkan kerajaan akan mengumpul RM22 bilion daripada SST pada tahun ini.

Laporan disediakan oleh M Fakhrull Halim, Hıdır Reduan Abdul Rashid dan Annabelle Lee.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS